Pages - Menu

Pages - Menu

Tuesday, December 2, 2014

MENILAI TAHAP PEMAHAMAN MURID TENTANG NILAI BERKAITAN DIRI (BERTERIMA KASIH)

PENDAHULUAN

   Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan perkembangan pemikiran moral , perasaan moral dan tingkahlaku moral.

   Pendidikan moral di sekolah rendah memberi penumpuan kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian dan kemoralan murid melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama , tradisi dan adat resam pelbagai kaum di negara ini.  Dengan itu murid dapat membina satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi individu yang bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan dan tindakan yang dilakukan .

   Beberapa prinsip utama telah dikenal pasti sebagai panduan dalam melahirkan insan yang menyeluruh dari segi jasmani, intelek, emosi, rohani dan sosial.  Prinsip-prinsip itu adalah:
i.                    Bertanggunggjawab pada diri, keluarga dan orang lain
ii.                  Berpegang teguh pada ajaran agama
iii.                Prihatin terhadap alam sekitar
iv.                 Mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup
v.                   Bersemangat patriotik
vi.                 Menghormati hak asasi manusia; dan
vii.               Mengamalkan prinsip demokrasi dalam kehidupan

   Untuk membolehkan murid memahami, menghayati serta mengamalkan prinsip-prinsip tersebut lima bidang pembelajaran telah dikenal pasti iaitu nilai berkaitan dengan perkembangan diri, , diri dan keluarga, diri dan masyarakat, diri dan alam sekitar serta diri dan negara.  Selain aspek kerohanian dan kemanusiaan, bidang pembelajaran itu juga menekankan aspek kemasyarakatan dan kebudayaan.

            Salah satu nilai yang berkaitan dengan perkembangan diri murid ialah nilai berterima kasih.



NILAI MURNI :   BERTERIMA KASIH

    Berterima kasih ialah perasaan dan perlakuan untuk menunjukkan pengiktirafan dan penghargaan terhadap sesuatu jasa, sumbangan dan pemberian.Dalam hal ini murid-murid perlu menekankan tentang jasa dan bakti masyarakat  dikenang dalam semua bidang.  Mereka perlu menghargai tokoh-tokoh dan anggota masyarakat  yang berjasa.

    Dalam hal ini soal selidik telah dijalankan kepada 30 murid menggunakan 2 eviden iaitu:
i.                     Karangan tentang kepentingan ‘Amalan Ucapan Berterima Kasih’ dan
ii.                   Lembaran kerja “Menghargai mereka yang berjasa


EVIDEN HASIL PENULISAN KARANGAN (LAMPIRAN 1)

Berdasarkan semakan penulisan Karangan ‘ Kepentingan Amalan Ucapan Berterima Kasih’ (Rujuk Lampiran 1) Karangan Contoh berkaitan tahap pemahaman murid-murid seramai 30 orang dapat dirumuskan bahawa mereka kebanyakannnya mengetahui tentang kepentingan ucapan tersebut.  Berikut ialah respon yang diperoleh dari murid-murid tentang kepentingan dan manfaat amalan baik  ‘berterima kasih’:

1.      Dapat mengeratkan hubungan silaturrahhim sesama rakan , guru-guru dan masyarakat.
2.      Keperluan ucapan sebagai tanda menghargai guru yang mencurahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran.
3.      Sebagai menghargai ilmu yang diberikan guru sejak kecil hingga dewasa.
4.      Sebagai menghargai orang yang memberi pinjaman harta benda kepada seseorang.
5.      Berterima kasih sebagai tanda kesopanan seseorang dengan seseorang yang lain.
6.      Ucapan terima kasih diucap untuk beroleh pahala dari Allah subhanahuataala dan beroleh kebarkatan hidup.
7.      Amalan berterima kasih oleh seseorang maka mereka akan terus dihormati dan dikasihi dalam kalangan masyarakat.
8.      Mengucapkan terima kasih tidak mengenal tahap kaya atau miskin, senang atau susah.
9.      Menjadikan seseorang akan sentiasa disenangi oleh rakan-rakan sahabat andai.
10.  Memantapkan Agama Islam dan berkembang luas kesan daripada dakwah dengan membudayakan amalan berterima kasih.
11.  Ucapan terima kasih hendaklah diucap dengan cara bermanis muka dan suara lembut ketika berkomunikasi.

EVIDEN LEMBARAN KERJA (LAMPIRAN 2)
 DOMAIN MENGHARGAI MEREKA YANG BERJAYA
Berdasarkan semakan Lembaran Kerja  domain‘ menghargai mereka yang berjaya’ berkaitan tahap pemahaman murid-murid seramai 30 orang dapat dirumuskan bahawa mereka kebanyakannnya mengetahui setiap sumbangan perlu ada penghargaan. 

Berikut ialah respon yang diperoleh dari murid-murid tentang sumbangan dan penghargaan:

1.      Perkhidmatan Jawatan Polis
1.1  Sumbangan yang dicurahkan perlu dihargai dengan kenaikan pangkat .
1.2  Perkhidmatan untuk negara perlu dihargai dengan pengiktirafan pingat

2.      Perkhidmatan Guru
2.1  Sumbangan guru menyampaikan ilmu dan dihargai dengan belajar bersungguh-sungguh oleh murid.
2.2   Guru mencurah pelbagai ilmu dan dihargai dengan memberi hadiah semasa hari guru.
2.3  Memberi pengetahuan kepada murid dan dihargai dengan cuba mendapatkan keputusan terbaik.
2.4  Peranan guru mendidik untuk menjadi insan berguna dibalas dengan penghormatan oleh masyarakat.


3.      Ahli Sukan
3.1  Berlari pantas dan bersungguh-sungguh dan dihargai dengan penerimaan hadiah.
3.2  Beroleh mata yang tinggi dan dihargai dengan  piala pusingan

4.      Seorang Doktor
4.1  Seorang doktor memberi rawatan kepada pesakit  dan menerima ucapan terima kasih
4.2  Doktor memberi nasihat kepada pesakit dan diucapkan terima kasih
4.3  Doktor  memberi ubat kepada pesakit dan dihargai dengan ucapan terima kasih.


RUMUSAN


     Daripada pemerhatian dan penilaian yang dibuat berdasarkan 2 bentuk eviden yang diberikan kepada murid-murid mendapati mereka faham akan penggunaan terima kasih untuk siapa, di mana dan bagaimana fungsinya.  Mereka boleh menulis karangan dengan memberi hujah pemahaman yang jelas dan mencatat sumbangan serta  penghargaan yang seharusnya diberikan kepada pihak polis, guru ,ahli sukan dan seorang doktor.  Bagaimanapun kemahiran sosial dalam konteks komunikasi di kalangan murid perlu diperhebat mengikut pelbagai situasi supaya murid lebih terdedah dan mengamalkan dalam rutin kehidupan harian mereka.

No comments:

Post a Comment

Pendapat @ Cadangan