Pages - Menu

Pages - Menu

Sunday, November 15, 2015

UCAPAN TUAN GURU BESAR : MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG & GRADUASI TAHUN 6/2015

UCAPAN TUAN GURU BESAR
MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG & GRADUASI TAHUN 6/2015

Terima kasih kepada Puan Pengerusi Majlis.

 Yang Berhormat Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz, Ahli Dewan Undangan Semenyih.

Yang Dihormati Tuan Haji Mohd Mohyiddin B Mohamed Mesbah, Yang Dipertua PIBG SK Rinching Hilir.

Yang Berusaha, barisan guru-guru  Penolong Kanan, Guru-guru SK Rinching Hilir, Ahli-ahli Jawatankuasa PIBG, Pengerusi JKKP, Pengerusi JKKK, Tuan Nazir dan Imam Masjid  Rinching Hilir, Ibu bapa, para pelajar yang diraikan serta hadirin  hadirat yang dikasihi Allah sekalian.

Assalamualaikum Wrt. Wbt. dan Salam 1 Malaysia, Salam Sehati dan Sejiwa.

Alhamdulillah, syukur di atas keizinan yang diberikan oleh Allah SWT serta Rahmat dan Kasih Sayang Nya. Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk menyampaikan sepatah dua kata dalam Majlis Hari Anugerah Cemerlang dan Graduasi Tahun 6/ 2015, Sek Keb Rinching Hilir Kajang Selangor. Saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu dan berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini.
Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Haji Johan Bin Abdul Aziz yang sudi hadir dan seterusnya merasmikan Hari Anugerah Cemerlang dan Graduasi Tahun 6 2015.

Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola majlis ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan dengan  lancar dan teratur. Ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja atas inisiatif dan kesungguhan yang ditunjukkan bagi menjayakan majlis anugerah cemerlang ini. Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan Negara.
Sebagaimana tahun-tahun yang lalu, Hari Anugerah Cemerlang dan Graduasi Tahun 6  merupakan acara  tahunan sekolah. Program seumpama ini diadakan bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada para pelajar yang telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam bidang Akademik, Sahsiah, dan Ko Kurikulum sekali gus mengharumkan nama sekolah samada di peringkat Daerah mahupun di peringkat Negeri.

Yang Berhormat Datuk dan tuan-tuan dan puan-puan,

Selaku Guru Besar, saya turut berasa bangga dengan pencapaian anak-anak Tuan-Puan. Oleh itu, teruskanlah kecemerlangan yang dicita-citakan kerana kejayaan dan kecemerlangan bukanlah suatu destinasi tetapi suatu perjalanan dan kembara yang tidak ada batas sempadannya. Maksudnya, kecemerlangan hendaklah menjadi budaya dan darah daging dalam setiap aspek kehidupan dan tidak terhenti setelah kita menamatkan zaman persekolahan sahaja. Insya Allah keputusan Peperiksaan UPSR 2015 akan diumumkan pada hari Selasa 17 November 2015.  Pada tahun ini seramai 96 orang calon telah menduduki UPSR di SK Rinching Hilir.  Semoga usaha dan jerih perih semua guru dan pelajar Tahun 6 berbaloi setanding dengan keputusan yang bakal keluar nanti. Untuk makluman para hadirin, SK Rinching Hilir telah mencatatkan peningkatan Gred Purata Sekolah selama tiga tahun berturut-turut iaitu 2.22 (2012), 2.13(2013) dan 2.03 (2014). . Begitu juga dengan bilangan pelajar yang Berjaya mendapat 5A, seramai 4 orang pada tahun (2012), 8 orang (2013) dan 8 orang(2014). Dan InsyaAllah, tahun ini kita mensasarkan seramai 16 orang pelajar mendapat 5A dan GPS di bawah 2.0. SK Rinching Hilir juga Berjaya melonjak hampir 1000 tangga dalam kedudukan sekolah sekolah di Malaysia iaitu dari kedudukan 2600 ke 1700. Kita akan terus mengorak langkah agar suatu hari nanti SK Rinching Hilir juga akan tergolong dalam Sekolah Kluster Kecemerlangan dan seterusnya Sekolah Berprestasi Tinggi, InshaAllah.


Hadirin dan Hadirat sekalian,

Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan perlulah ada kesepakatan dan kerjasama daripada pelbagai pihak. Di peringkat sekolah, kita telah melakukan yang terbaik selaras dengan etika dan Piagam Pelanggan Perkhidmatan Pendidikan. Justeru, gandingan mantap daripada Ibu Bapa, keluarga dan masyarakat sekeliling amat diperlukan supaya matlamat pendidikan untuk melahirkan generasi bagi mengisi wawasan negara akan tercapai.
Akhirnya, sekalung penghargaan turut diucapkan kepada warga PIBG SK Rinching Hilir, semua guru-guru dan kakitangan sokongan sekolah kerana tidak jemu-jemu membantu dari segi material dan sokongan moral hingga kita berjaya menganjurkan majlis seumpama ini. Segala jasa dan budi baik Tuan Puan hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya.Sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Haji Johan bin Abdul Aziz atas kesudian Yang Berhormat Datuk untuk hadir bersama-sama kita. Ucapan terima kasih juga kerana Yang Berhormat Datuk tidak jemu-jemu membantu pihak sekolah dalam pelbagai aspek terutamanya dari segi kewangan.
Sekian. Saya sudahi dengan lafaz Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
Terima kasih.

GB Muhammad Yusri bin Yusof

15 November 2015 (Ahad)

No comments:

Post a Comment

Pendapat @ Cadangan