Kaedah Pengajaran Abad ke-21
- Mengintegrasikan bahan-bahan percuma dan murah
- Kelebihan dan batasan
- Sumber
- Bagaimana untuk mendapatkan sumber
- Penilaian
Pembelajaran online atau e-pembelajaran menjadi satu istilah yang popular dan mempunyai pelbagai tafsiran dan persepsi. Secara umumnya, e-pembelajaran dapat didefinisikan sebagai satu proses pembelajaran yang menggunakan sistem atau komponen elektronik bagi mempelbagaikan penggunaan teknologi untuk meningkatkan keboleh capaian dan keberkesanan pembelajaran. Secara dasarnya, e-pembelajaran ini melibatkan penggunaan komputer atau komponen elektronik termasuklah CD-ROM dan bahan pembelajaran melalui atas talian (online).
E-pembelajaran ini secara langsung membolehkan proses pembelajaran yang canggih dilaksanakan tanpa mengira jarak dan bilangan ahli yang melayarinya. Melalui e-pembelajaran, murid dapat mengamalkan pembelajaran yang berterusan di samping berupaya menyampaikan pengetahuan dengan lebih berkesan kerana ia mengandungi teks, animasi, grafik, audio dan video yang menarik. Tambahan pula kemudahan untuk perbincangan atas talian dan bantuan professional untuk isi kandungan juga disediakan sebagai pendekatan kepada pendidikan, latihan dan maklumat yang lebih berstruktur dan bersepadu.
Selain itu, e-pembelajaran ini juga sangat membantu dalam proses pembentukan pembelajaran sepanjang hayat seperti yang diharapkan oleh dasar pendidikan negara kita (dasar e-pembelajaran negara). Oleh itu cara melaksanakan e-pembelajaran yang baik dalam pembelajaran amat digalakkan. Secara tidak langsung visi negara dalam usaha menambahkan kadar celik IT sedikit sebanyak akan berjaya dalam tempoh terdekat ini. Kaedah e-learning ini seharusnya diperkenalkan secara lebih meluas bermula dari peringkat sekolah rendah bagi memupuk pelajar khasnya kanak-kanak mencintai ilmu pengetahuan disamping merangsang minat mereka untuk belajar
Terdapat beberapa komponen penting yang terlibat dalam persekitaran e-pembelajaran ini seperti infrastruktur/perkakasan (ch. makmal komputer, komputer riba, talian rangkaian dan internet), bahan kandungan pengajaran secara elektronik (ch. e-modul / multimedia courseware, nota kuliah secara elektronik, video dan audio), sistem pengurusan e-pembelajaran (ch. Blackboard, WebCT, Moodle, Mambo, Learnmate, Lotus Learning Space, dan Kalaideskop), kaedah komunikasi (ch. email, forum, chat, sms, dan email-group), polisi dan prosedur e-pembelajaran, dan sikap / amalan pengguna.
Kesimpulannya, e-pembelajaran merupakan satu alat bantu mengajar yang terbaru dan menggunakan kemudahan ICT bagi meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran sama ada dalam kelas ataupun di luar kelas. E-pembelajaran mampu memberikan impak yang positif jika digunakan dan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh para guru dan pensyarah. E-pembelajaran juga dapat membantu penerapan kemahiran abad ke 21 dalam sistem pendidikan kita.
No comments:
Post a Comment
Pendapat @ Cadangan