PENGENALAN KURIKULUM
Terdapat banyak definisi kurikulum.
Kurikulum boleh didefinisikan sebagai cara membantu pendidik berfikir tentang
kanak-kanak dan mengurus pengalaman kanak-kanak berdasarkan program. Kurikulum
juga boleh dimaksudkan semua Pengalaman yang berlaku di sekolah.
Kurikulum merupakan bentuk penulisan
yang dirancang untuk pembelajaran. Selain itu kurikulum juga membawa pengertian
senarai topik pembelajaran yang akan dilaksanakan Mengikut pandangan Dr
Norhashimah Hashim dan Yahya Che Lah (2003), kurikulum adalah rancangan
pengajaran dan pembelajaran yang disusun bagi mencapai sesuatu matlamat
pendidikan.
Menurut Feldman (1991) pula,
kurikulum merupakan asas untuk mengajar dan memberi maksud ke arah pendidikan.
Manakala Catron dan Allen (1999) menjelaskan bahawa kurikulum dibahagikan
kepada dua bahagian iaitu kurikulum nyata dan kurikulum tersembunyi. Kurikulum
nyata adalah pengajaran dan pembelajaran secara langsung berkenaan pelbagai
aspek perkembangan kanak-kanak seperti jasmani, emosi, rohani,intelek,
merancang aktiviti dan membuat penilaian. Kurikulum tersembunyi pula ialah
perkara yang dipelajari oleh kanak-kanak secara tidak langsung seperti tingkah
laku kanak-kanak secara tidak langsung seperti tingkah laku dan tindakan guru
serta pengaruh persekitaran.
Zais (1979) menyatakan bahawa
kurikulum sebagai satu set generalisasi yang saling berkait secara logik,
konsep, cadangan dan lain-lain yang mewakili satu pandangan sistematik sesuatu
fenomena kurikulum. Fungsi teori kurikulum ialah untuk memperkata, menjangka dan
menerangkan fenomena kurikulum dan sebagai polisi untuk panduan aktiviti
kurikulum.
Mengikut Kerr J.K. (2002) konsep
kurikulum merupakan semua jenis pembelajaran yang dirancang dan dilaksanakan
oleh sekolah sama ada dalam kumpulan atau secara individu di dalam atau di luar
sekolah.
Pakar-pakar pendidikan mentakrifkan
kurikulum berasaskan rancangan bidang pendidikan.Misalnya J.G.Saylor dan W.M
Alexander (1974) mentakrifkan kurikulum sebagai rancangan yang menyediakan
semua peluang pembelajaran dengan tujuan memperoleh maklumat dan objektif
pendidikan di sekolah. Tyler (1950) mentafsirkan kurikulum sebagai pelajaran
yang dirancang, dikelola dan dilaksanakan oleh sekolah berdasarkan objektif
yang ditentukan.
REKA BENTUK KURIKULUM DI MALAYSIA
MAKSUD REKABENTUK KURIKULUM
Rekabentuk kurikulum bermaksud cara kurikulum
itu dikonsepsikan dan komponen-komponen utama kurikulum seperti (matlamat dan
objektif, kandungan kurikulum, kaedah media dan penilaian disusun dalam sesuatu
kurikulum untuk menghasilkan instruksi.
Perdebatan
yang melibatkan reka bentuk kurikulum bermula dengan Laporan Razak (1956) yang
mencari jalan untuk memansuhkan perbezaan dalam kurikulum sekolah-sekolah
Melayu, Cina, Tamil, dan Inggeris sambil mengekalkan bahasa pengantar masing-masing.
Jawatankuasa Sukatan Pelajaran ditubuhkan pada tahun 1956 untuk merumuskan
sukatan pelajaran yang sesuai dan juga untuk mengesyorkan jumlah masa pelajaran
bagi setiap mata pelajaran. Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan pada tahun 1974
untuk mengkaji pelaksanaan dasar pendidikan dan juga menyentuh tentang aspek
kurikulum bagi memastikan bahawa ia memenuhi tuntutan bagi keperluan tenaga
rakyat dalam pembinaan ekonomi, sambil memenuhi tuntutan untuk melahirkan
masyarakat bersepadu dan berdisiplin selaras dengan pembinaan sifat-sifat
kemanusiaan (Mohd Daud, 1994)
MAKSUD KURIKULUM
Menurut KPM kurikulum bermaksud segala
rancangan pendidikan yang dikendalikan oleh sesebuah sekolah atau institusi
pendidikan untuk mencapai matlmat pendidikan. Ia adalah suatu rancangan yang
meliputi segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai-nilai dan norma unsur-unsur
kebudayaan dan kepercayaan maysarakat untuk diperturunkan kepada ahli-ahlinya.
Kurikulum
bermaksud skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di institusi pendidikan
seperti di sekolah dan universiti. Kurikulum ditentukan dan ditetapkan oleh
sesebuah Negara itu melalui Kementerian Pendidikan. (Wikipedia, ensiklopedia bebas).
Kurikulum
berasal daripada perkataan Latin “currere” maksud “race course” atau
laluan/jejak/jurusan. Curriculum dalam bahasa inggeris bermaksud jelmaan.
Menurut
Goodlad (1973) : Kurikulum merupakan satu bidang yang sukar ditakrifkan.
Menurut Smith et al (1957) : Kurikulum
merupakan satu urutan pengalaman yang disediakan di sekolah bagi tujuan
mendisiplinkan pelajar dalam cara berfikir dan bertindak secara kumpulan.
MATLAMAT/ OBJEKTIF KURIKULUM
·
Garis panduan dan penentu sempadan ilmu.
·
Penyampaian maklumat ikut peringkat.
·
Relevan dan sesuai dengan kehendak semasa.
·
Membina modal insan abad ke 21.
·
Melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan
sosial.
(J.E.R.I.S.)
·
Kurikulum yang sama – ideologi masyarakat yang sekata dan bersatu.
·
Melahirkan insan yang sayang dan cintakan tanah air.
MODEL NATURALISTIK WALKER
Selain
model objektif, model naturalistik juga
merupakan model pilihan yang digunakan oleh pakar-pakar kurikulum sebagai asas
untuk membentuk sesebuah kurikulum. Model Naturalistik telah dibina untuk
menjelaskan fenomena dan hubungan yang diperhatikan dalam projek kurikulum
sebenar secara jujur dengan beberapa istilah dan prinsip. Bidang kurikulum
telah berjaya mengemukakan model pembangunan kurikulum yang bermula dari Bobbit
hinggalah kepada Tyler, yang mengetengahkan elemen-elemen model klasik, iaitu
objektif dan pengalaman pembelajaran. Operasinya adalah untuk menentukan dan
menjelaskannya dalam bentuk khusus, merangka pengalaman pembelajaran, memilih
dan mengorganisasi pengalaman pembelajaran supaya dapat mencapai matlamat, dan
membuat penilaian hasil daripada pengalaman tersebut.
Model
Naturalistik mengandungi tiga elemen, iaitu dasar kurikulum (the curriculum’s
platform), pertimbangan yang berkaitan dengannya (deliberation) dan reka bentuk
kurikulum (curriculum design). Ketiga-tiga elemen ini mempunyai perkaitan
antara satu sama lain sebagai asas untuk memilih dan membentuk kurikulum yang
sesuai bagi sesebuah sistem pendidikan.
DASAR KURIKULUM
(PLATFORM)
Dasar kurikulum merujuk kepada sistem kepercayaan dan
nilai yang diambil kira oleh pembina-pembina kurikulum sebagai panduan untuk
membina kurikulum. Dasar kurikulum meliputi idea tentang sesuatu dan visi
tentang apa yang seharusnya dan sepatutnya ada dalam kurikulum. hal inilah yang
memandu pembina kurikulum dalam menentukan apa yang perlu dilakukannya untuk
merealisasikan visinya. dalam sisitem pendidikan di Malaysia. Dasar Pelajaran
Kebangsaan merupakan unsur utama untuk menentukan bentuk pendidikan yang
digunakan. Walau bagaimanapun, penetapan yang ada dalam Dasar Pelajaran
Kebangsaan adalah mengambil kira dasar kerajaan terhadap pembangunan masyarakat
iaitu masyarakat jenis apakah yang dikehendaki untuk negara Malaysia. Teras
untuk menentukannya adalah dengan melihat prinsip-prinsip Rukun Negara,
Falsafah Pendidikan Negara dan keadaan rakyat itu sendiri.
PERTIMBANGAN
Setiap keputusan untuk membentuk kurikulum dan bagaimana
kurikulum akan disebarkan perlu mengambilkira pertimbangan-pertimbangan
tertentu. Walker (1978), mengatakan bahawa pertimbangan mengambil kira
kedua-dua aspek iaitu matlamat dan cara ( means dan ends), dan kedua-duanya
akan saling menetukan peranan antara satu sama lain. Matlamat dan cara mestilah
dapat mengenal pasti fakta yang berkaitan atau adalah releven dan sesuai untuk
dijadikan pertimbangan dalam pemilihan kurikulum. Pembentuk kurikulum mestilah cuba
mengenalpasti keperluan pengguna kurikulum yang terdiri daripada pendidik dan
pelajar yang merupakan anggota masyarakat dalam sesuatu sistem sosial.
Matlamat dan cara mestilah menghasilkan penyelesaian
alternatif terhadap pemilihan yang tidak sesuai. Matlamat da cara membolehkan
usaha untuk mengesan langkah-langkah setiap alternatif yang dipilih mempunyai
keupayaan untuk menyelesaikan masalah hasil daripada kurikulum yang dibentuk.
pertimbangan yang berkesan perlu dibuat bagi setiap alternatif yang dipilih,
kesan dan akibat yang bakal dihadapi, seterusnya memilih alternatif yang
terbaik sebagai ganti jika berlaku ketidaksesuaian kurikulum yang dipilih.
REKA BENTUK
KURIKULUM
Reka bentuk kurikulum merupakan satu set perhubungan yang
abstrak dalam penghasilan pembangunan kurikulum. Apabila kurikulum terbentuk
dalam bentuk bahan, maka reka bentuk kurikulum menunjukkan satu kesatuan yang
utuh. oleh itu, reka bentuk kurikulum memerlukan satu kaedah untuk menunjukkan
kesan penting yang berpotensi terhadap set bahan sumber terancang.
Apabila kita membicarakan tentang kurikulum, kita melihat
kepada hasil melalui projek-projek kurikulum. Masalhnya ialah kesan kurikulum
mesti dihuraikan dalam bentuk perbuatan, bukannya bahan. Bahan-bahan adalah
penting kerana bahan menggambarkan keadaan perlakuan yang memberikan kesan
kepada pengguna bahan. Oleh itu, reka bentuk kurikulum adalah merupakan
hubungan yang terkandung di dalam bahan-bahan yang digunakan oleh pendidik dan
pelajar. Bahan-bahan yang digunakan dalam reka bentuk kurikulum memberi kesan
kepada para pelajar.
Masalah tentang reka bentuk ialah reka bentuk kurikulum
sukar untuk menghuraikan dengan jelas dan tepat mengenai bahan kurikulum yang
disediakan. Satu kaedah diperlukan untuk menunjukkan kesan yang jelas dalam
penggunaan bahan kurikulum. Salah satu cara untuk menghuraikan reka bentuk
adalah dengan beberapa siri keputusan yang dihasilkannya. Oleh itu, reka bentuk
kurikulum ditunjukkan oleh pilihan-pilihan yang menyebabkan penghasilannya.
Dalam membentuk apa jua kurikulum, terdapat
keputusan-keputusan reka bentuk yang dibentuk melalui pelbagai pandangan atau
pendapat dan mengambil kira pelbagai alternatif. Keputusan-keputusan itu
membentuk reka bentuk eksplisit kurikulum. Tetapi terdapat pembina-pembina
kurikulum mengambil kira beberapa tindakan tertentu tanpa menghiraukan adanya
alternatif lain yang boleh digunakan. Dalam hal ini, adalah janggal untuk
menolak keputusan-keputusan yang dibuat walaupun keputusannya adalah sama
dengan keputusan awal. Pilihan-pilihan yang tidak diambil kira atau diterima
membentuk kurikulum reka bentuk implisit kurikulum. Reka bentuk kurikulum
menjadikan jelas sekiranya pemilihan dibuat dengan betul setelah melalui
pertimbangan dalam beberapa bentuk pilihan, tetapi sekiranya pemilihan tidak
dibuat dengan teliti, reka bentuk akan menjadi kurang jelas. Keadaan ini
memberi kesan terhadap pelaksanaannya. Pendidik menyebarkan kurikulum tanpa
kejelasan dan pelajar menerimanya tanpa pilihan.
Dalam model naturalistik, bukan penghasilan dalam proses
kurikulum yang menjadi objek utama atau senarai objektif dan set pengalaman
pembelajaran diutamakan, akan tetapi model ini merupakan satu set
keputusan-keputusan reka bentuk. Proses di mana kepercayaan dam matlamat
digunakan untuk membuat keputusan ialah pertimbangan. Operasi utama dalam
membuat pertimbangan ialah pemilihan titik rumusan, membuat pilihan alternatif,
mengambil kira perbalahan sama ada terdapat sokongan atau bantahan dan akhir
sekali memilih alternatif yang boleh menghadapi pelbagai halangan atau kekangan
untuk menggunakan kurikulum yang dbentuk.
MODEL
NATURALISTIK YANG DINAMIK
Pereka bentuk kurikulum menghadapi pelbagai halangan dan
keadaan dalam mereka bentuk sebuah kurikulum. Dengan mengambil kira
halangan-halangan yang disatukan dengan prinsip-prinsip pembentukan kurikulum,
pembina kurikulum merasakan telah mengambil segala pertimbangan dalam usahanya
membentuk kurikulum. Oleh itu, segala pemilihan yang dibuat dan diterima oleh
pereka bentuk menjadi dasar kepada kurikulum. Pengguna kurikulum memahami dan
besar kemungkinan melakukan apa yang telah dilakukan pereka bentuk kurikulum.
Terdapat tiga komponen dasar dalam kurikulum yang dibentuk, iaitu konsep, teori
dan tujuan atau matlamat.
KONSEP
Konsep yang melibatkan kepercayan, andaian dan
pertimbangan yang diterima oleh pereka bentuk kurikulum dan menjadi asas untuk
membuat pemilihan dikira sebagai dasar kurikulum. Setiap benda atau perkara
yang baik, benar atau sempurna boleh menjadi sebahagian daripada dasar itu.
Contohnya, dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan unsur-undur jasmani, emosi,
rohani, intelek dan sosial yang sempurna merupakan kebenaran yang ingin dicapai
untuk masyarakat negara Malaysia melalui sistem pendidikan.
TEORI
Teori merupakan sesuatu kepercayaan tentang hubungan
antara hakikat kewujudan entiti dengan kepercayaan kepada kebenaran iaitu
mempercayaisesuatu itu benar. Oleh itu, unsur-unsur ketuhanan telah diselitkan
dalam kurikulum untuk membawa manusia ke jalan yang benar. Dalam kontoks ini,
kita lihat kurikulum pendidikan di Malaysia adalah berpaksikan kepada
ketuhanan.
TUJUAN / MATLAMAT
Tujuan atau matlamat adalah kepercayaan tentang apa yang
dikehendaki oleh pendidikan iaitu kebaikan dan keindahan yang terkandung dalam
pendidikan seperti objektif pendidikan. Tujuan atau matlamat mencerminkan
sesuatu yang perlu diberi dan diperolehi oleh seseorang melalui sistem
pendidikan.
IMEJ
Imej ialah kehendak yang mahu dicapai dalam sesuatu
kurikulum.
PROSEDUR
Prosedur ialah siri tindakan atau keputusan yang
dikehendaki tanpa menjelaskan mengapa dan dalam cara mana kurikulum
dikehendaki. Pereka bentuk kurikulum akan mengubah dasarnya jika berlaku
konflik dari segi prinsip dan data. Perubahan-perubahan kecil yang berlaku
dikawal dengan konsisten melalui contoh kes terdahulu. Penggunaan kes terdahulu
dalam merancang komponen kurikulum amat sesuai untuk menjadi dasar dalam sistem
pendidikan.
PERANAN PENTADBIR
DAN GURU
Sebagai pemimpin kurikulum sekolah, Guru
Besar memainkan peranan yang penting untuk memenuhi keperluan yang efektif
iaitu:
a.
Mempunyai kefahaman terhadap keseluruhan kurikulum;
b.
Memastikan wujudnya akauntabiliti terhadap standard yang tinggi dalam
pengajaran dan pembelajaran;
c.
Membangunkan budaya dan persekitaran yang sesuai;
d.
Menjadi ‘model peranan’ kepada guru-guru dan para pelajar.
Sebagaimana yang
telah dibincangkan bahawa model yang baik adalah model yang dapat membantu
pelaksananya untuk mengerti dan memahami suatu proses secara asas dan
menyuluruh. Ini menunjukkan bahawa model pengembangan kurikulum yang baik
adalah model yang dapat membantu para pengembang kurikulum dalam mengembangkan
kurikulum organisasinya. Guru turut terlibat dalam pengembangan kurikulum
dengan tujuan antara lain;
a. Sebagai panduan kepada guru untuk
memilih model pengembangan yang sesuai dengan pelaksanaan pengembangan
kurikulum di sekolahnya.
b. Sebagai ilmu bagaimana
kurikulum itu dibina dan selanjutnya dilaksanakan di sekolah-sekolah. Satu-satu kurikulum itu memerlukan masa yang
panjang serta perbelanjaan yang tinggi
sebelum ianya benar-benar dilaksanakan. Pada hal mungkin selama ini guru-guru hanya tahu bahawa kurikulum
itu sudah sedia ada dan hanya
perlu dituruti sahaja.
c. Ia juga sebagai bahan untuk
menyusun kurikulum yang sesuai dengan visi, misi, serta KPI sesebuah organisasi itu.
d. Sebagai bahan penelitian
tugas profesional guru dan bertanggungjawab terhadap segala kesempurnaan kurikulum di sekolah.
e. Sebagai bahan untuk melihat
perbandingan dan keberhasilan tentang model pengembangaan
kurikulum yang digunakan oleh sesebuah sekolah, yang akhirnya diharapkan dapat memperbaiki kurikulum tersebut.
Oleh itu, dalam konteks
Model Naturalistik Walker, Guru Besar berperanan dalam semua elemen yang telah
dikemukakan. Dari elemen Dasar Kurikulum atau yang dikenali dengan Platform,
elemen Pertimbangan dan seterusnya kepada Reka Bentuk Kurikulum. Ini
menjelaskan bahawa tugas dan tanggung jawab Guru Besar adalah amat penting dan
relevan dalam mempastikan kesinambungan pengajaran dan pembelajaran benar-benar
berjalan mengikut apa yang telah dirancangkan.
Pentadbir lain pula akan
bekerjasama bersama Guru Besar bagi mempastikan perjalanan kurikulum lancar.
Pentadbir amat penting dalam elemen yang kedua iaitu Pertimbangan. Di peringkat
inilah segala persoalan serta isu timbul dan dibahaskan bagi mendapat satu
keputusan jitu untuk perlaksanaan kurikulum yang ampuh. Ketua Panitia Mata
Pelajaran turut terlibat sama dalam peringkat ini.
Selanjutnya adalah elemen
Reka Bentuk Kurikulum. Pada peringkat
ini semua peringkat organisasi akan terlibat termasuklah guru-guru. Jika
semuanya berlaku seperti yang telah dirancang, maka kurikulum yang telah
dibentuk itu pasti akan mencapai matlamatnya.
1 . PELAKSANAAN DASAR KURIKULUM
1.1 Menyediakan program
pendidikan termasuk kurikulum dan kegiatan kokurikulum yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, norma,
nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan
untuk membantu perkembangan seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta
menanam dan mempertingkat
nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan .
1.2 Dasar Kurikulum Sekolah
sepanjang masa mestilah selari dengan arus perdana sistem dan dasar pendidikan kebangsaan khususnya Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 .
1.3 Kurikulum yang dilaksanakan
mestilah memenuhi kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia.
1.4 Semua guru mestilah mendapat
maklumat terkini mengenai pendidikan dan kurikulum
semasa.
1.5 Pada setiap masa, program
akademik mestilah diutamakan. Hal ini bermakna sekiranya
program akademik bertembung dengan program lain, laluan mestilah diberikan kepada program akademik .
2 . JAWATANKUASA KURIKULUM SEKOLAH
2.1 Mesyuarat
Jawatankuasa Kurikulum mestilah dilaksanakan sekurang-kurangnya empat kali setahun bagi membincangkan
pengurusan dan pelaksanaan , masalah dan
isu kurikulum di sekolah .
2.2 Pengurusan mesyuarat mestilah
mematuhi prosedur dan pekeliling yang ditetapkan.
2.3 Setiausaha Jawatankuasa dilantik
daripada kalangan Guru Kanan Mata pelajaran .
2.4 Agenda yang dibincangkan
dalam mesyuarat wajib dilaksanakan.
2.5 Semua
perkara yang telah dibincangkan dan diputuskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum mestilah
dimaklumkan dan dibincangkan pelaksanaannya di
dalam mesyuarat panitia dan maklum balas yang sewajarnya mestilah disampaikan kepada setiausaha Jawatankuasa .
2.6 Jawatankuasa mestilah sentiasa
membuat pemantauan dan penilaian impak terhadap
pelaksanaan kurikulum di dalam semua mata pelajaran dan Guru Kanan Mata pelajaran beserta Ketua-Ketua
panitia dipertanggungjawabkan sepenuhnya .
3 . PENGURUSAN PANITIA MATA PELAJARAN
3.1 Pengurusan panitia mata-mata pelajaran
mestilah mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 4 / 1986.
3.2 Pengurusan Panitia mata-mata
pelajaran juga mestilah mematuhi Sistem Pengurusan
Sekolah Kualiti (SPSK) .
3.3 Kejayaan murid dalam semua mata pelajaran,
prestasi peperiksaan awam , motivasi dan
bakat adalah berkait rapat dengan keberkesanan pengajaran guru di dalam kelas. Oleh itu semua panitia mata
pelajaran hendaklah berfungsi dan digunakan dengan
optimum untuk saling bekerjasama, saling membantu , berkongsi fikiran, pengalaman dan kepakaran untuk
memperbaiki kecekapan dan kekesanan pengajaran.
3.4 Semua perancangan dan tindakan
panitia mestilah sentiasa merujuk kepada TOV dan
GROW dalam pengurusan prestasi semua mata pelajaran dalam panitia-panitia
3.5 Panitia-Panitia mestilah
berusaha mendapatkan dan mengamalkan strategi-strategi mengajar yang inovatif dan boleh mendorong serta
menggerakkan kecenderungan para
pelajar terhadap pembelajaran.
3.6 Pengurusan panitia secara on
line atau web based/1Bestari net VLEFrog mestilah menjadi keutamaan dan oleh itu laman web panitia mestilah
sentiasa dikemas kini supaya guru dan
murid boleh sentiasa merujuk .
3.7 Semua mesyuarat panitia akan
dijalankan dalam tempoh dua minggu selepas mesyuarat
kurikulum dan mesyuarat penitia ini mestilah dihadiri oleh pentadbir . Satu salinan minit mesyuarat panitia hendaklah
disampaikan kepada pengetua melalui SU Kurikulum
3.8 Setiausaha panitia hendaklah
menyelenggara fail-fail panitia dan semua minit atau laporan mesyuarat, surat menyurat dan rekod-rekod yang
berkaitan dengan diselia oleh
ketua-ketua panitia.
4 SUKATAN PELAJARAN ,
HURAIAN SUKATAN PELAJARAN
DAN RANCANGAN PELAJARAN HARIAN
4.1 SP , HSP dan RPH adalah dokumen
rasmi kurikulum dan mestilah sentiasa dirujuk apabila
merancang proses pengajaran dan pembelajaran
4.2 Guru mestilah dapat
menghayati , mengenal pasti dan boleh menterjemahkan objektif mata pelajaran yang tercatat di dalam HSP kepada
objektif pentaksiran dan juga
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas , dengan itu mahir tentang konstruk-konstruk peperiksaan awam bagi
mata pelajaran yang diajar.
4.3 Salinan ketiga-tiga dokumen ini yang
telah disahkan oleh pengetua mestilah dilampirkan
bersama di dalam Buku Rekod Mengajar atau diletakkan di dalam fail khas supaya senang dirujuk .
4.4 Penulisan Rancangan
Pelajaran Harian (RPH) di dalam Buku Rekod Mengajar hendaklah mengikut format yang telah ditetapkan .
4.5 Semua guru mestilah
menyediakan Rancangan Pengajaran berdasarkan RPH di dalam Buku Rekod Mengajar sebelum
masuk kelas . Oleh itu Buku Rekod Mengajar mestilah
lengkap dan dibawa masuk kelas setiap kali ada kelas .
4.6 Penggabungan isi kandungan
sebilangan mata pelajaran digalakkan bagi membolehkan
sukatan dilengkapkan segera dan isi kandungan boleh disusun semula oleh guru berkaitan.
4.7 Melengkapkan sukatan pelajaran
dalam masa yang ditetapkan.
5 . PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
5.1 Pengajaran dan Pembelajaran
berkesan hendaklah dilaksanakan oleh guru untuk mengoptimumkan kecemerlangan murid.
5.2 Menyediakan kemudahan
pengajaran dan pembelajaran yang cukup dan berkualiti selaras dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi ( TMK ) atau (ICT)
5.3 Menekankan kemahiran
mengaplikasi ICT bagi menghasilkan pelajar yang berkemahiran dalam ICT . Oleh itu penggunaan peralatan ICT
menjadi keutamaan di dalam menyokong pengajaran
dan pembelajaran di dalam bilik darjah .
5.4 Pembelajaran berasaskan
e-learning dengan menggunakan teknologi multimedia interaktif dan pembelajaran berasaskan laman web seperti
VLEFrog digalakkan dan akan
diperluaskan.
5.5 Memperluaskan program peningkatan
penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
5.6 Memastikan penguasaan ’basic
fact and information’ dalam setiap topik dikuasai oleh pelajar dengan menggunakan teknik-teknik mengingat yang kreatif
supaya tidak membebankan dan membosankan
pelajar untuk belajar sebelum beredar ke topik selanjutnya
.
5.7 Meningkatkan penguasaan dan
penekanan kepada kemahiran generik ,kemahiran berfikir
kritis dan kreatif agar murid menguasai kemahiran Berfikir Tinggi ( KBAT ) semasa proses pengajaran dan pembelajaran
5.8 Menggunakan pelbagai
pendekatan, kaedah, strategi dan teknik di dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi meningkatkan ketrampilan guru dan
seterusnya ketrampilan murid
dan pada masa yang sama meningkatkan prestasi pencapaian peperiksaan awam . Hal ini adalah kerana
pengajaran yang berkualiti akan menghasilkan
pembelajaran yang berkualiti .
5.9 Penggunaan kumpulan
pembelajaran koperatif, ’cooperative learning structures’ dan ‘workshops’ mestilah diperluaskan dalam
kalangan guru dan murid dengan itu kerjasama
antara murid dan guru dapat dipertingkat seterusnya tanggungjawab untuk belajar dapat dipindahkan kepada
pelajar.
5.10 ’Selected Study Skills’ perlu dikenal pasti dan
pelajar digalakkan untuk menggunakannya
bagi memudahkan proses pembelajaran.
5.11 Keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran mestilah dinilai oleh guru mata pelajaran
, pelajar dan barisan pentadbir di akhir sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran berdasarkan penguasaan pengetahuan,
kemahiran , penglibatan dan daya tumpuan
pelajar di dalam kelas.
5.12 Proses pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan mestilah menggabungkan
’content skill , language skill, ICT skill & pedagogi skill’ . Oleh itu setiap orang guru mestilah berusaha
meningkatkan keterampilan diri dengan meningkatkan
kemahiran-kemahiran di atas secara berterusan.
5.13 Guru mata pelajaran , Ketua
Panitia Mata pelajaran mestilah sentiasa memantau prestasi pencapaian mata pelajaran setiap orang pelajar seperti yang
telah ditetapkan oleh sekolah
dan berusaha membuat tindakan susulan untuk mencapai sasaran tersebut . Oleh itu pengurusan ’Headcount Mata
pelajaran’ dan kaedah GROW
mestilah menjadi amalan dan kelaziman bagi setiap orang guru .
5.14 Pengajaran dan pembelajaran
menggunakan stesen-stesen pengajaran dan pembelajaran
di luar bilik darjah digalakkan dan akan dikembangkan secara berterusan terutama Tahun 1, 2, 3 dan 4
menggunakan PBS agar PdP lebih menarik
dan berkesan.
5.15 Proses pengajaran dan
pembelajaran di dalam kelas juga mesti memantapkan budaya membaca, belajar cara belajar, penggunaan pelbagai sumber
pendidikan dan penerapan budaya
cintakan ilmu .
5.16 Guru juga mestilah
mendedahkan pelajar-pelajar dengan soalan mencapah ataupun HOTS – Higher Order
Thinking Skills Questions atau KBAT.
5.17 Ketua-Ketua Panitia mestilah
menetapkan Dasar Penggunaan Bilik-Bilik Khas supaya
selaras dengan Dasar 3K dan penggunaan untuk proses pengajaran dan pembelajaran dioptimumkan .
PENUTUP
Faktor
yang mempengaruhi pembentukan kurikulum sekolah di Malaysia berdasarkan
kehendak dan keperluan pelajar dalam pendidikan. Kurikulum yang dibentuk
seharusnya sempurna dari segi penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran yang
mencukupi agar apa yang dirancangkan itu dapat memberi kepuasan kepada pelajar
sebagai individu. Kurikulum juga dibentuk untuk membangunkan potensi pelajar
dari aspek intelektual, jasmani, rohani dan sosial. Pembentukan potensi pelajar
yang positif akan meningkatkan sahsiah diri yang cemerlang dari pelbagai sudut.
Perkembangan individu dalam bidang kognitif, psikomotor dan afektif juga
penting dalam pembentukkan kurikulum di Malaysia. Dalam mencapai matlamat
pendidikan seperti ini, kandungan kurikulum dapat dibahagikan kepada dua bahagian
pertama: sukatan pelajaran dan kandungan mata pelajaran serta segala aktiviti
pengajaran dan pembelajaran, kedua: Aktiviti kokurikulum seperti sukan,
permainan, kelab dan unit beruniform. Justeru itu, kurikulum sekolah yang ideal
ialah kurikulum yang dapat memupuk persefahaman dan semangat kerjasama
antarabangsa dalam diri pelajar seperti menghormati hak-hak individu dan
kedaulatan Negara, sumbangan dan komitmen yang mampu diberikan ke arah
penyelesaian konflik Negara dan global. Selain itu, ia juga dapat membantu
meningkatkan taraf kerohanian, maruah, pandangn dan visi sedunia ke tahap yang
tinggi dan sempurna
0 comments:
Post a Comment