“ Technology will never replace great teachers, but technology in the hands of a great teacher can be transformational ” – Yusri -
... Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah aku rezeki halal yang diredhai dan direstuiMu yang melimpah ruah supaya aku kaya raya. Agar mewah hidupku, ahli-ahli keluargaku, sahabat handaiku, dan bukalah hatiku untuk bersedekah dan berbelanja ke jalanMu Ya Allah. Dan di dalam aku membina kekayaanku, Kau limpahkanlah juga rezeki yang melimpah ruah setiap insan yang berurusan denganku. Kau selamatkanlah hidup aku serta keluargaku dan sahabat handaiku dunia akhirat, Ya Allah. Aamiiin. .......

Wednesday, November 4, 2015

BUDAYA SEKOLAH

1.  Pengenalan

                    Sekolah merupakan sebuah institusi sosial yang memainkan peranan yang amat penting dalam merubah kehidupan masyarakat. Sekolah adalah pengubah minda dan sekolah adalah penentu kepada budaya dan pembangunan sesebuah negara. Di sinilah tempat kita menuju wawasan. Di sini jugalah tempat kita membina bangsa kita. Negara tidak akan maju tanpa sistem pendidikan yang berkesan. Jikalau sistem pendidikan dan carta organisasi sahaja yang berkesan tetapi pengurusannya lembab, maka cita-cita negara, dan perbelanjaan yang begitu besar diperuntukkan oleh kerajaan hilang begitu sahaja dan cita-cita serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan hanya tinggal terukir di pejabat atau bilik pengetua dan menjadi rujukan serta kajian ilmiah semata-mata.
                      Sekolah seringkali diungkapkan sebagai sebuah institusi yang menyeluruh bagi segolongan manusia berkumpul dan bekerja bersama-sama untuk sesuatu tempoh masa yang tertentu. Organisasi seperti ini ditadbirkan secara formal. Oleh sebab sekolah merupakan sebuah organisasi, maka wujudlah suatu budaya yang tersendiri dan berkembang di sekolah.
                     Budaya secara ringkasnya merujuk kepada cirri-ciri dan hasilan tingkah laku yang dipelajari oleh sekumpulan manusia daripada persekitaran sosialnya. Tylor (1871) menyatakan budaya sebagai “keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat dan sebarang bentuk keupayaan dan kebiasaan yang diperolehi oleh seseorang sebagai ahli masyarakat”.
                      Budaya merupakan apa yang terkandung dalam diri individu hasil daripada pengalaman interaksi sosial dengan masyarakat di sekeliling kita. Menurut T.Marimuthu (1990;96) budaya sekolah terdiri daripada “… nilai-nilai, kepercayaan, pengetahuan dan tradisi, cara berfikir dan tingkah laku yang semuanya berbeza daripada institusi sosial yang lain”.
                      Ringkasnya , sekolah mempunyai suatu budaya yang tersendiri yang sememangnya berbeza daripada budaya institusi yang lain seperti institusi penjara atau hospital sakit jiwa. Ini kerana sekolah merupakan sebuah institusi sosial yang wujud dengan adanya para guru dan pelajar. Guru dan pelajar berinteraksi dalam menyampai, menyumbang dan menimba ilmu pengetahuan. Proses pengajaran dan pembelajaran tersebut telah melahirkan suatu budaya sekolah. Dalam erti kata lain, budaya sekolah sebahagian besarnya adalah hasil daripada interaksi di antara guru-guru dan pelajar-pelajarnya.

2.  Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Kewujudan Budaya Sekolah

                       Budaya sekolah selalunya kekal untuk satu tempoh yang tertentu. Budaya sekolah biasanya wujud melalui lima faktor:
2.1   Faktor pertama:
                      Faktor  pertama yang mempengaruhi kewujudan budaya sekolah ialah sekolah sebagai sebuah institusi formal, sekolah mewujudkan objektif dan peringkat tingkah laku tertentu di kalangan pelajar mengikut rangkaian peraturan dan undang-undang.

2.2   Faktor kedua:
                     Sekolah merupakan sebuah organisasi berdasarkan waktu . Sekolah bermula dan tamat pada waktu yang telah ditetapkan . Oleh sebab itu pelajar yang datang lewat akan dikenakan tindakan disiplin atau didenda.

2.3   Faktor Ketiga:
                     Sekolah juga merupakan institusi yang digred mengikut umur pelajar. Pelajar diasingkan mengikut umur dan sesetengahnya mengikut kebolehan dan keupayaan. Pelajar yang lebih umur tidak dibenarkan mengulang kelas. Di negara kita , seseorang pelajar hanya dibenarkan mengulang sekali sahaja dalam tempoh sembilan tahun persekolahan.
2.4    Faktor Keempat:
                    Upacara dan keramaian  yang diadakan di sekolah seperti perhimpunan sekolah , upacara menaikkan bendera dan menyanyi lagu kebangsaan , lagu negeri dan lagu sekolah memberi pelbagai makna atau simbol kepada pelajar. Upacara lain ialah seperti hari ucapan dan penyampaian hadiah, hari sukan tahunan, pameran tahunan, lumba jalan kaki, pesta dan persembahan pentas. Semua upacara dan perayaan ini mengembangkan budaya sekolah yang membawa kepada stabiliti sekolah sebagai sebuah sistem sosial . Perkara lain yang telah menjadi simbol atau lambang budaya sekolah ialah seperti pakaian seragam sekolah, lencana, tali leher, warna sekolah dan sebagainya.

2.5    Faktor kelima:
                       Dalam konteks yang lebih luas, budaya sekolah ditentukan oleh matlamat institusi berkenaan. Matlamat pendidikan ialah pemindahan budaya , sosialisasi golongan muda, menyerapkan pengetahuan dan kemahiran serta mengembangkan kebolehan pelajar. Sekiranya sekolah hanya memberikan perhatian kepada pemindahan pengetahuan dan kemahiran dengan tujuan lulus dalam peperiksaan, akan wujudlah subbudayanya yang berorientasikan akademik. Sebahagian besar sekolah di negara kita mempunyai budaya akademik yang amat kuat di samping subbudaya yang lain seperti olahraga, sukan, permainan dan persatuan.
                        Menurut Bantock (1973) pula budaya yang wujud di sekolah adalah akibat daripada dua faktor yang besar. Faktor yang pertama ialah masalah disiplin di sekolah. Semenjak dahulu lagi , pelajar yang nakal dan melanggar peraturan sekolah akan didenda manakala yang baik dan patuh kepada peraturan akan diberi ganjaran seperti puji-pujian dan sebagainya. Maka timbullah satu bentuk budaya yang dikenali sebagai budaya informal di sekolah berkenaan.
 Faktor kedua yang mempengaruhi kewujudan budaya sekolah ialah peranan peperiksaan. Peperiksaan mendorong persaingan yang sihat di kalangan pelajar. Mereka berlumba-lumba untuk mencapai kecemerlangan , dan akhirnya mewujudkan suatu budaya sekolah yang formal . Pelajar mempunyai nilai dan persepsi yang positif, tetapi dalam proses bersaing dan berlumba-lumba menimba ilmu , terdapat pelajar yang lemah,  dan ketinggalan dalam pelajaran mereka. Maka wujudlah segolongan pelajar yang mempunyai nilai yang negatif. Mereka menimbulkan ‘budaya pelajar’  yang tidak sihat di sekolah .
3.     Jenis Budaya Sekolah

                        Budaya sekolah di Malaysia bolehlah diklasifikasikan kepada tiga jenis. Tiga jenis budaya yang menunjukkan corak kehidupan dalam budaya sekolah ialah :
a) Budaya Instrumental
b) Budaya Ekspresif
c) Budaya Moral

3.1    Budaya Instrumental:
                        Tujuannya ialah pengumpulan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperlukan untuk lulus di dalam peperiksaan di samping menghasilkan pelajar dan warganegara yang baik dan sempurna. Dalam erti kata yang lain ialah, budaya ini mengutamakan matlamat masa hadapan para pelajar.

3.2    Budaya Ekspresif:
                       Tujuannya ialah untuk memuaskan kehendak kreatif dan seni para pelajar . Aktiviti diadakan untuk mereka menghilangkan ketegangan , serta meluahkan tenaga tanpa sebarang kawalan daripada kakitangan sekolah.Contoh aktiviti ialah seperti menari, melukis, atau bermain muzik mengikut kecenderungan dan minat masing-masing. Tidak terdapat sebarang sekolah di Malaysia yang menekankan budaya ekspresif ini, tetapi terdapat beberapa buah sekolah di Britain dan Amerika Syarikat yang mengamalkannya.

3.3    Budaya Moral:
                       Tujuannya ialah untuk melahirkan pelajar bermoral yang berkemampuan membuat pertimbangan tentang beberapa tindakan atau tingkah laku yang betul atau salah. Sekolah menghukum setiap kesalahan dan memberikan ganjaran seperti hadiah kepada yang betul atau baik.

4.     Aspek Budaya Sekolah

                         Dahlke(1958) membezakan tiga aspek  yang luas dalam budaya sekolah. Tiga aspek  tersebut ialah Peralatan (Instrumental) Dari aspek ini manusia membuat pilihan terhadap teknik melakukan sesuatu. Ia adalah alat untuk memperoleh objektifnya.
                         Peraturan (Regulative) Aspek ini merujuk kepada tindakan manusia dan penggunaan peralatan yang tertakluk kepada peraturan dan undang-undang. Mereka akan memberitahu apa yang harus dilakukan atu mesti dilakukan.Peraturan sekolah adalah ketentuan atau garis panduan yang dikenakan oleh pihak sekolah untuk mewujudkan disiplin di kalangan pelajar. Sejak 1956, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan surat pekeliling mengenai peraturan yang perlu dilaksanakan di sekolah yang meliputi peraturan pakaian seragam, potongan rambut, larangan merokok, lawatan sekolah, pembuangan murid daripada sekolah, penyalahgunaan dadah, peraturan tatatertib sekolah dan peraturan am.
                        Arahan (Directive). Daripada aspek arahan, para individu memperoleh nilai-nilai semerta, interpretasi mereka tentang hidup, dan matlamat yang mereka kerjakan.
                         Budaya sekolah seperti ini telah digunakan untuk melahirkan pelajar yang berjaya dan bertingkah laku mulia. Sebenarnya seluruh budaya sekolah dikuasai oleh nilai domain sekolah, yang berorientasikan akademik, sehinggakan anak-anak digolongkan kepada dua kategori yang luas, iaitu akademik dan bukan akademik.

5.     Budaya Sekolah Yang Formal dan Informal

                         Dalam membicarakan tentang budaya sekolah, Brembeck (1966), Ivan Reid (1978), Waller(1932), Sugarman (1967), dan beberapa orang ahli sosiologi yang lain telah mengenal pasti dua bentuk budaya yang dominan di sekolah, iaitu budaya formal dan budaya informal.
                         Brembeck(1966:247) menghubungkaitkan budaya formal yang wujud di sekolah dengan perlakuan pelajar yang positif, iaitu ....culture may be defined as learned and shared behaviour. Sekolah dipercayai akan dapat menyampaikan nilai budaya sesuatu masyarakat kepada pelajarnya . Nilai tersebut ialah seperti kepercayaan terhadap negara , bahasa dan kesusasteraan, sejarah, tradisi, muzik dan seni, kepercayaan dan perhubungan antara manusia yang sopan dan hormat (1966:247)
                          Walaupun sekolah mewujudkan nilai yang bertentangan , namun Brembeck percaya nilai yang baik dan positif boleh disemai dan dipupuk, misalnya pelajar boleh diajar dan dilatih bekerjasama, sama ada mereka bertanding dalam sukan, ataupun bersaing dalam sesebuah kelab. Pendapat Brembeck ini disokong oleh Ivan Reid (1978:50) yang mengatakan,  <The objective of the formal culture of school is to produce seccessful (achieving), well-behaved pupils. Common sense tells us that schools and teachers spend most of their time attempting to get pupils to behave in fairly closely prescribed ways (the ideal pupil role) in order to achieve. >
                         Dalam perkataan lain , Ivan Reid juga bersetuju bahawa budaya  formal sekolah akan dapat menghasilkan pelajar yang berjaya serta berkelakuan baik. Guru akan sentiasa berusaha ke arah mencapai matlamat tersebut. Sebaliknya , menurut Ivan Reid (1978:45) budaya sekolah yang tidak formal akan menghasilkan pelajar yang berbakat lain daripada  academic ability, iaitu mereka akan menyerlah dalam fighting/sporting ability. Maksudnya ialah mereka lebih cenderung dalam bidang yang bukan akademik seperti sukan, permainan, persatuan, atau kerja amal. Mereka dikatakan mempunyai budaya sendiri yang dikenali sebagai pupil culture( Waller, 1932) atau sebagai youth culture (Parsons, 1942). Mereka selalu menimbulkan masalah disiplin di sekolah seperti merokok, ponteng sekolah, atau bergaduh. Oleh sebab itulah, mereka sering digelarsebagai pengacau ataupun ‘samseng’ di negara kita. Golongan pelajar ini seringkali mempunyai klik sendiri, iaitu kumpulan-kumpulan sebaya yang suka melepak, meminati lagu-lagu pop dan rock, ponteng sekolah dan sebagainya. Pada keseluruhannya mereka ini lemah dalam bidang akademik.

6.     Kesan Budaya Sekolah

                         Budaya sekolah yang terlalu menekankan pencapaian akademik telah menimbulkan beberapa masalah di kalangan remaja. Masalah remaja bolehlah dikategorikan ke dalam tiga golongan iaitu;
a) Aktiviti akademik (pencapaian yang tinggi dan murid yang lembap),
b) Pelanggaran peraturan tatatertib (perosak akhlak dan pengacau),
c) Masalah emosi ( takut dan menarik diri).
                        Budaya sekolah yang formal yang terlalu berorientasikan akademik. Ramai pelajar yang berasal daripada keluarga yang taraf sosioekonominya rendah tidak berupaya memenuhi permintaan yang tinggi daripada budaya akademik ini. Seluruh struktur dan organisasi sekolah dibentuk ke arah membantu pelajar agar lulus dalam peperiksaan dengan kelulusan yang baik.
                         Untuk meninggikan taraf dan mutu usaha akademik, pelajar dibahagikan ke dalam jurusan mengikut kebolehan. Guru yang paling berpengalaman ditempatkan dalam jurusan yang pelajarnya berkebolehan  lebih tinggi. Akibatnya , pelajar yang lemah diabaikan. Apabila membahagikan jurusan mengikut kebolehan pelajar (dinilai daripada ujian kelas) di peringkat sekolah rendah, pelajar daripada keluarga yang berada  yang telah menghadiri pelajaran prasekolah akan diasingkan dan mereka akan terus memperoleh kejayaan yang membanggakan, manakala mereka yang daripada keluarga miskin akan menjadi semakin lemahtahun demi tahun. Inilah salah satu daripada sebab mengapa sekumpulan murid masih belum dapat mengikuti pelajarannya setelah enam tahun bersekolah.

7.     Kesimpulan

                         Secara simplistik, ciri-ciri yang saya anggap tergolong di bawah budaya sekolah ialah budaya ilmu, budaya insan yang kamil seperti yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan, budaya kepimpinan, budaya kerja, budaya komunikasi dan seterusnya budaya bilik darjah.Budaya sekolah yang sihat itu ialah ciri-ciri budaya dan sub-budaya yang dapat menyumbangkan kepada perwujudan dan pertumbuhan sekolah sebagai institusi pendidkan dengan erti kata yang sebenarnya, yang mana dapat membantu merealisasikan segala yang tersurat dan yang tersirat di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


 



KAJIAN
Pengurusan Kepelbagaian Budaya Dalam Konteks Pencapaian Sekolah Terintang.
Beberapa konsep penting

Sekolah Terintang - .  Pihak penganjur telah mendefinisikannya sebagai sekolah murid Orang Asli, Penan, Sekolah Kurang Murid, Sekolah Kecil, Sekolah Terpencil dan Sekolah Pedalaman.
Ada tiga kategori sekolah jenis ini: Pertama, sekolah yang pelajarnya daripada etnik Asli dan Penan. Kedua, bilangan pelajar kecil, dan Ketiga sekolah terintang ditentukan oleh lokasi – pedalaman.
Pencapaian sekolah ini biasanya rendah, tapi mungkin isu yang dihadapi sekolah itu berbeza
Sekolah ini juga berhadapan dengan  kadar ponteng  serta berlakunya keciciran pelajar yang tinggi.
Kurangnya kemudahan infrastruktur pendidikan  dan peruntukkan kewangan.
Barangkali juga kurang guru, malah mungkin juga terdapat guru-guru yang tiada minat berkhidmat disini, dan mengambil ringan sahaja tentang tugas yang diamanahkan.
Murid-murid tidak berminat kepada pelajaran serta ibu-bapa yang lemah komitmennya terhadap memastikan anak-anaknya cemerlang.

Sedikit Gambaran Sekolah Orang Asli
Jumlahnya:  98 buah
Lokasinya : Kebanyakannya dipedalaman
Sejarahnya:  Mula ditubuhkan oleh JHEOA pada tahun 1954, sebagai usaha mengenalkan persekolahan kepada Orang Asli dan juga sebagai langkah memastikan mereka tidak lagi berpindah randah.
Kakitangan sekolah : Staf  JHEOA – Tiada latihan guru.
1996 – Sekolah Orang Asli diambil alih pengurusannya oleh KPM.
BAGAIMANA PENCAPAIAN PELAJARNYA?





UPSR 2006 HINGGA 2011
TAHUN BILANGAN HADIR BILANGAN LULUS % LULUS PELAJAR CEMERLANG
(4A & 5A)
BIL %
2006 2,884 1,807 62.66 19 1.05
2007 2,846 1,706 59.94 20 1.17
2008 2,884 1,807 62.66 34 1.88
2009 3,107 1,789 57.58 46 2.57
2010 3,018 1,852 61.37 45 2.43
2011 3,091 2,154 72.40 **44 1.42








ANALISA UPSR 2011
NEGERI BIL CALON BIL HADIR BIL LULUS
( ABC) %
 LULUS
(ABC) BIL LULUS
( ABCD) %
 LULUS
(ABCD) BIL
 GAGAL %
 GAGAL
JOHOR 292 233 193 82.8 218 93.6 15 6.4
N     NEGERI SEMBILAN DAN
MELAKA 241 193 155 80.0 176 91.2 21 9.0
   KELANTAN DAN
    TERENGGANU 462 345 195 56.5 256 74.2 61 17.7
    PAHANG 1,569 1,128 832 73.8 982 87.1 150 15.3
   PERAK DAN KEDAH 1,160 957 592 61.9 779 81.4 187 19.5
   SELANGOR 312 235 187 79.6 212 90.2 25 11.8
JUMLAH 4,036 3,091 2,154 72.4 2,623 84.8 469 15.2

                     


 Senario ini menunjukkan ada masalah dalam sistem persekolahan, masalah membangunkan dan memajukan serta menguruskan pendidikan di sekolah terintang. Ramai penulis telah mengupas persoalan dan membahas isu ini. Ada yang mengatakan bahawa pendidikan yang dibekalkan itu tidak menarik pelajar untuk menimba pengetahuan; pendidikan yang disediakan itu tidak memberi makna kepada kehidupan orang asli.
                      Bersekolah ataupun tidak, tidak mengubah atau memberi kesan kepada mereka. bahawa persekolahan itu kurang berguna kepada mereka, kerana budaya pendidikan yang disogokkan tidak selari dengan budaya sosialisasi dan nilai yang mereka warisi. Ilmu yang dibekalkan disekolah dirasakan tidak serasi dengan budaya dan kehidupan yang mereka lalui. Justeru untuk menangani masalah yang dihadapi, ada yang mencadangkan supaya dibangunkan pedagogi pribumi, supaya pedagogi ini selaras dengan citarasa dan kebiasaan kanak-kanak Orang Asli.  Cuma yang ingin kita tanyakan sejauh manakah ia telah diaplikasikan dalam P & P di sekolah. Adakah kajian menilai kesan pedagogi pribumi telah dilakukan. Jika telah dilaksanakan apakah dapatannya?

Konsep:  Pengurusan Kepelbagaian Budaya

                      Terdapat dua istilah yang perlu saya perjelaskan maksudnya dalam konsep di atas. Pertama ialah istilah Pengurusan dan kedua Budaya.
                       Secara mudah Pengurusan boleh sahaja bermaksud mentadbir atau mengawal ataupun mengusahakan sesuatu pekerjaan, atau pengurusan juga boleh bermaksud sekumpulan orang atau entiti yang berfungsi menyelaras dan mengharmonikan sesuatu kumpulan untuk mencapai sesuatu matlamat. Dalam konteks sekolah, pengurusan ini boleh sahaja bermaksud sesiapa sahaja yang menjalankan pentadbiran dan proses pengajaran dan pembelajaran.
                       Manakala budaya  atau kebudayaan pula secara mudah sering dimaksudkan sebagai cara hidup yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat ataupun oleh sekelompok manusia
                        Kami memilih definisi yang telah digunapakai oleh Robert H. Lowie.  Kata beliau kebudayaan  adalah segala sesuatu yang di peroleh individu dari masyarakat, mencakup kepercayaan, adat istiadat, norma-norma artistik, kebiasaan makan, kebolehan yang di peroleh bukan dari kreatifitasnya sendiri melainkan merupakan warisan masa lampau yang di dapat melalui pendidikan formal atau informal.
                        Lantas pengurusan kepelbagaian budaya dalam konteks persekolahan boleh sahaja kita maksudkan sebagai bagaimana pihak pengurusan sekolah mentadbir atau mengusahakan pengajaran dan pembelajaran untuk tujuan mengharmonikan kumpulan-lumpulan atau kelompok-kelompok yang memiliki kebiasaan-kebiasaan  yang diwarisi dari masa lampau dan disesuaikan dengan persekitaran dan nilai-nilai sesebuah sekolah bagi mencapai sesuatu matlamat iaitu kecemerlangan pelajar-pelajarnya
Konsep: Pencapaian Sekolah
                      Selalunya pencapaian sekolah diukur dari peratusan pelajar yang lulus dan lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.
                       Kerana indikator yang sedemikianlah pernah kita terbaca di akhbar-akhbar terdapat pihak pengurusan sekolah yang menghalang pelajar-pelajar lemah daripada menduduki peperiksaan, kerana khuatir  tahap pencapaian sekolah mereka menurun.
                        Tetapi mengapakah kita tidak mengukur pencapaian sekolah itu dari sudut keupayaannya memenuhi falsafah pendidikan negara.

Falsafah Pendidikan Negara
                      “Pendidikan di Malaysia adalah  satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi  intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.”
                       Ertinya pihak sekolah perlu menterjemahkan nilai-nilai ini dalam P&Pnya supaya pelajar yang dididik menjadi seimbang intelek, rohani, emosi dan jasmani. Kerana itulah bagi pendapat saya tugas guru tidak terhad kepada mengajar tetapi mendidik.
                        Mendidik ini satu budaya kerja atau budaya tugas yang belum pasti berupaya dihayati oleh semua guru.
                        Kita ingin bertanya apakah budaya mendidik ini telah berjaya disemaikan kepada guru-guru yang dilatih?
Bentuk Kepelbagaian  Yang Terdapat Di Sekolah Orang Asli
                       Secara kasar kita boleh bahagikan kepelbagaian disekolah  kepada dua kelompok. Pertama ialah kelompok yang membekalkan perkhidmatan dan kelompok yang kedua ialah kelompok yang menjadi klien.
                       Kelompok yang membekalkan perkhidmatan ini terikat kepada budaya Eurocentrik persekolahan, budaya bangsa/etniknya sendiri serta nilai-nilai semasa yang telah diperolehi melalui proses-proses sosial yang dilaluinya. (Budaya moden) Kelompok ini juga memiliki kuasa yang disahkan oleh sistem pendidikan itu sendiri.
                        Kelompok  kedua   atau kelompok klien adalah terdiri daripada murid-murid, juga ibu-bapa dan masyarakat setempat.Kelompok ini juga memiliki tatacara, keinginan dan harapan mereka sendiri yang berpaksikan oleh kepada adat dan tradisi yang mereka warisi.
                         Pandang dunia mereka sangat dipengaruh oleh adat dan tradisi yang telah diwarisi. Mereka memang merasa selesa dan sebati dengan keadaan kehidupan tradisi ini, yang diselubungi kemiskinan material. Mereka sedar bahawa mereka sangat berbeza dengan kelompok dominan yang moden.  Lantaran itu mereka menjadi kelompok yang sangat sensitif, mudah merasa terhina  dan kecil hati.
                         Jurang perbezaan inilah yang memisahkan kedua-dua kelompok ini. Semakin lebar jurang ini mereka rasakan, maka semakin sukarlah kelompok klien ini berminat menerima perkhidmatan yang disediakan dan ini  menjadikan mereka  sebagai klien yang pasif.
                          Lantas apakah cara yang telah dilakukan oleh kelompok dominan untuk mengubah keadaan ini. Di sinilah fungsi pengurusan kepelbagaian kebudayaan menjadi amat penting, kerana dengannya jurang itu boleh dirapatkan
                          Andainya komponen-komponen ini gagal diurus-tadbir dengan baik dan masing-masing mengekalkan kebiasaan, sikap dan nilai masing-masing, maka matlamat kecemerlangan yang ingin dicapai akan tinggal sebagai harapan sahaja dan tidak mungkin akan menjadi realiti.
                              Setelah sekian lama sekolah terintang ini beroperasi, mari kita tanya diri kita mengapa kecemerlangan itu menjadi sesuatu yang begitu sukar dicapai di sekolah jenis ini?  Saya pasti setiap komponen yang saya sebutkan tadi  ada jawapan mereka sendiri. Dan jari mereka akan ditudingkan kepada elemen-elemen lain yang biasanya berada di luar kawalan masing-masing yang dianggap sebagai penyebab.

Langkah Mengatasi
                       Pemahaman yang mendalam tentang pelajar atau klien serta masyarakat setempat menjadi sangat penting. Pemahaman ini akan jadi lebih mudah jika wujudkan hubungan yang mesra antara kedua-dua kelompok ini. Hubungan mesra ini akan melahirkan rasa percaya serta rasa hormat dan menghormati antara satu sama lain.
Peranan kumpulan dominan/ guru bukan hanya berfokus kepada P & P yang terikat kepada silibus sahaja, malah pemerhatian yang teliti perlu diberikan kepada budaya pelajar, agama, latar belakang keluarga, dan sosioekonomi
                        Latihan Guru ada menyediakan kursus untuk memperkenalkan bakal-bakal guru kepada budaya masyarakat Orang Asli. Tetapi sejauh manakah maklumat ini, berjaya mereka terjemahkan dalam melaksanakan peranan mereka di sekolah-sekolah terintang ini.
                         Maklumat yang diperoleh itu tidak akan memberi apa-apa kesan jika personaliti atau sahsiah guru itu bermasalah. (sikap bekerja untuk gaji / dihukum). Individu-individu atau guru-guru atau orang yang terlibat perlu membetulkan sikap mereka terlebih dahulu
                        Salah satu pendekatan dalam konteks memahami budaya Orang Asli (klien), perlu sekali guru-guru yang berkhidmat di sekolah berkenaan berupaya bertutur dalam bahasa penduduk setempat. Ini akan memudahkan guru diterima oleh masyarakat setempat, dan lebih penting lagi murid-murid akan merasa wujud kaitan dengan guru itu, -- ada perkara yang mereka miliki bersama. Murid-murid juga merasakan guru itu adalah sebahagian daripada mereka.
                       Apabila murid-murid faham mereka akan berminat dengan guru itu dan sekali gus akan berminat kepada mata pelajaran yang diajarkannya. Pelajaran yang diajarkan akan jadi lebih menarik jika guru itu dapat mengolahnya dengan baik dan menarik. Ini akan  diterjemahkan oleh murid-murid dalam bentuk suka kepada guru tersebut, sayang, hormat dan patuh kepadanya. Guru-guru juga perlu mengetahui keadaan kehidupan setiap keluarga muridnya, tahu adat resam dan pantang-larang yang mereka amalkan.
                        Guru-guru perlu selami akal budi mereka. Akal budi setiap individu itu berbeza. Ini perlu kerana dengannya guru akan mudah dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat dan juga menyesuaikan diri dengan murid-muridnya dan dengan mudah juga dapat menyelesaikan masalah-masalah yang wujud. Bergaul, bermesra, prihatin dan terbuka dengan ibu-bapa murid dan masyarakat setempat adalah elemen atau langkah dalam pengurusan kebudayaan di sekolah terintang. Jika ini telah dilakukan oleh semua guru bermakna telah  bermulalah usaha sekolah menguruskan kepelbagaian budaya di sekolah itu.
                         Kesannya, bila hubungan sekolah dengan masyarakat akrab dan mesra akan zahirlah rasa tanggung-jawab oleh semua pihak, dengan itu kualiti produk perkdimatan disekolah akan meningkat dan masalah P & P di sekolah terintang mampu dikurangkan. Guru boleh kaitkan kandungan pelajaran dengan elemen budaya, kehidupan dan persekitaran yang biasa dengan murid-murid.  Ini pasti akan menjadikan pelajaran itu bermakna dan menyeronokkan kepada mereka. Untuk menjadikan mereka faham, guru wajar mampu memberi banyak contoh, dan contoh ini juga harus sesuatu yang dekat dan biasa dengan mereka.  Gunakan bahasa yang mudah atau bahasa yang mereka gunakan untuk memberikan penerangan. Di sinilah pentingnya guru menguasai bahasa murid-murid atau bahasa setempat.





Bibliografi / Rujukan
1. Amir Hasan Dawi, 2002. Penteorian sosiologi dan pendidikan edisi kedua. Tanjung Malim:  Quantum Books.
2. Fatimah Daud, 1992. Pengenalan teori-teori sosiologi.Kuala Lumpur :  Fajar Bakti
3. Kamaruddin Haji Husin, 1995. Dinamika sekolah dan bilik darjah.Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributions Sdn.Bhd.
4. Omar Mohd. Hashim, 1991. Pengisian misi pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
5. Sharifah Alwiah Alsagoff, 1985. Sosiologi pendidikan. Petaling Jaya: Longman.

0 comments:

Label

2023 - BPSM 5S 6 ASPIRASI MURID PPPM Aspirasi Murid dan Inisiatif PPPM BAHAN JPN SELANGOR BAHAN PENATARAN SKPM - G2 2016 BINA WEB BUDAYA SEKOLAH Buku Program CADANGAN PROGRAM MINGGU PERTAMA PEMBUKAAN SEKOLAH SESI AKADEMIK 2023/2024 Catatan Peribadi Admin CIRI-CIRI P&P BERKESAN CONTOH EVIDENS SKPMg2 Creativity & Innovation in Education FIZIKAL SEKOLAH GAMBAR PKPGB GAMBAR PKPGB KONVO 2015 UM Garis Panduan Garis Panduan Undangan atau Lawatan Orang Kenamaan dan Ahli Politik ke Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 GMGBM 2018 GURU BESAR I-THINK ICT INOVASI DAN KREATIVITI JADUAL WAKTU PKPGB KAJIAN TINDAKAN EDISI KETIGA KALENDAR 2016 Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) KERTAS KERJA KEJOHANAN MERENTAS DESA 2017 KERTAS KERJA KEJOHANAN LARI MERENTAS DESA Kinicki Krietner KOLEKSI TEKS UCAPAN GURU BESAR KOMUNIKASI Konsep dan Pelaksanaan Sekolah Selamat KONVENSYEN MGB SELANGOR 2015 KURIKULUM & MODEL NATURALISTIK WALKER KURIKULUM BERASASKAN KOMUNITI (KBK) MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2017 KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA Melindungi Masa Instruksional (MMI) MOTIVASI DALAM PENGURUSAN PENDIDIKAN Myportfolio Guru Besar 2018 Naratif Baharu Amalan Pendidikan Fokus dan Gerak Kerja Profesional KPM 2019 NILAI - NILAI MURNI Nostalgia Hidupku NOTA PADAT TEKNOLOGI PENDIDIKAN ORGANISASI SEKOLAH PAEP2104 APRESIASI SENI VISUAL SEKOLAH RENDAH PAEP4104 : PENGAJARAN MIKRO PENDIDIKAN SENI PAET3101 : ETIKA PERGURUAN Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah 2018 PBPPP PBS PDEP 3101 :KREATIVITI DAN INOVASI DALAM PENDIDIKAN PDEP 3102: Pengurusan Kurikulum PDEP1104 : Pengurusan Dan Organisasi Pendidikan (Management And Educational Organisation) PDEP2106 : REKABENTUK KURIKULUM SEKOLAH RENDAH PDEP3102 PENGURUSAN KURIKULUM PDEP3103 : TINGKAHLAKU ORGANISASI PENDIDIKAN PDEP3104 : PENGURUSAN HAL EHWAL MURID PDEP4103 PENYELIAAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN PEKELILING PELAKSANAAN JADUAL WAKTU PENGAJARAN & PEMBELAJARAN MENGIKUT JAM SETAHUN DI BAWAH KSSR (SEMAKAN 2017) DAN KSSM PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA PEMIMPIN TMK 2018 PENGALAMAN PEMBELAJARAN PENGGUBALAN STRATEGIK SEKOLAH PENGURUSAN DI SWASTA PENGURUSAN KEPIMPINAN SEKOLAH PENGURUSAN KOKURIKULUM PENGURUSAN PEJABAT PENGURUSAN RISIKO PENGURUSAN SEKOLAH PENGURUSAN STRATEGIK PENGURUSAN STRATEGIK SEKOLAH RENDAH PENGURUSAN SUMBER MANUSIA DALAM ORGANISASI PENDIDIKAN PERANCANGAN STRATEGIK PERLEMBAGAAN PIBG PIPPK PPET 3104: PRINSIP TEKNOLOGI PENGAJARAN PPPM PSIKOLOGI PERKEMBANGAN PST6 RPH PENDIDIKAN KESENIAN TAHUN 1 (KSSR 2017) RPT / RPH 2017 RPT MORAL TAHUN 6 (KSSR 2017) RPT PENDIDIKAN KESENIAN TAHUN 1 (KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 1 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 10 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 11 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 12 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 13 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 2 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 3 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 4 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 5 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 6 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 7 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 8 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 9 ( KSSR 2017) SEKOLAH BERKESAN SEKOLAH SEBAGAI BIROKRASI SKPMg2 SOSIOLOGI PENDIDIKAN SWOT SWOT HAL EHWAL MURID TAKLIMAT PELAKSANAAN PENTAKSIRAN SEKOLAH DI BAWAH PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH TAKLIMAT UMUM KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN (SEMAKAN 2017) KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (SEMAKAN 2017) KURIKULUM STANDARD SEKOLAH MENENGAH TAKSONOMI BLOOM TANGGUNGJAWAB GURU BESAR TATATERTIB TEKS UCAPAN MAJLIS PENUTUPAN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA 2017 TQM TUGAS GURU BESAR UPSR 2016 VIDEO VIDEO KONVOKESYEN DIRIKU VIDEO PKPGB