SEORANG DEMI SEORANG
1. SEMASA ZAMAN REMAJA
Seorang demi seorang budak-budak kampung kita keluar meninggalkan kampung. Ada yang meninggalkan kampung kerana bersekolah dan tinggal di asrama. Ada yang menuntut di universiti dan ada yang mencari kerja di bandar. Sampai masanya kita pula mengikut giliran mereka yang terdahulu, meninggalkan kampung kerana menuntut ilmu atau mencari kerja.
2. SELEPAS TAMAT BELAJAR
Seorang demi seorang kawan-kawan kita memasuki alam pekerjaan di sektor awam atau swasta. Akhirnya tiba pula giliran kita mendapat pekerjaan dan dapat merasai nikmat makan gaji setelah sekian lama menganggur sambil mencari pekerjaan.
3. SELEPAS BEKERJA
Seorang demi seorang kawan-kawan kita menamatkan zaman bujang. Mereka berkahwin dan beranak pinak. Setelah tiba masanya, kita pula mengikut jejak mereka berkahwin dan seterusnya beranak pinak.
4. SETELAH LAMA BEKERJA
Seorang demi seorang kawan-kawan kita yang senior mula bersara. Kita pula sedang menghitung tahun, bulan, minggu dan hari untuk turut bersara seperti kawan-kawan kita yang telah bersara.
5. DITIMPA SAKIT
Seorang demi seorang, orang-orang yang sihat mulai kurang sedap badan dan ditimpa sakit. Mula-mula sakit ringan dan seterusnya semakin memberat dan semakin uzur sehingga menghampiri kematian. Nanti bila tiba masanya, kita yang sedang sihat tidak mustahil mengalami situasi yang sama dengan mereka yang diuji dengan kesakitan.
6. TIBA AJAL
Seorang demi seorang, orang-orang yang hidup sama ada tua atau muda, sihat atau sakit pergi menghadap Ilahi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya. Akan tiba masanya nanti, kita yang sedang menikmati kehidupan di dunia ini turut akan dijemput oleh Allah untuk meninggalkan dunia yang fana ini.
Kesimpulannya, setiap orang ada gilirannya untuk sesuatu perkara atau urusan sama ada giliran itu menyeronokkan, menyusahkan, menyedihkan, mahu, tidak mahu dan sebagainya. Kalau hari ini giliran orang lain, suatu hari nanti pasti giliran kita...
Nurkilan : Pangkat hanya pakaian
0 comments:
Post a Comment