“ Technology will never replace great teachers, but technology in the hands of a great teacher can be transformational ” – Yusri -
... Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah aku rezeki halal yang diredhai dan direstuiMu yang melimpah ruah supaya aku kaya raya. Agar mewah hidupku, ahli-ahli keluargaku, sahabat handaiku, dan bukalah hatiku untuk bersedekah dan berbelanja ke jalanMu Ya Allah. Dan di dalam aku membina kekayaanku, Kau limpahkanlah juga rezeki yang melimpah ruah setiap insan yang berurusan denganku. Kau selamatkanlah hidup aku serta keluargaku dan sahabat handaiku dunia akhirat, Ya Allah. Aamiiin. .......

Sunday, November 30, 2014

IDEOLOGI ATAU FALSAFAH YANG MEMPENGARUHI DALAM PEMBENTUKAN FPK

1.0 PENDAHULUAN

Pendidikan di Malaysia berkembang dengan pesat sekali. Panduan utama pendidikan di Malaysia ialah berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). FPK digubal untuk memberi panduan atau arah tuju untuk menentukan haluan, asas dan inspirasi kepada semua usaha dan rancangan dalam bidang pendidikan. Sebagai negara yang sedang membangun, aspek utama yang ditekankan oleh kerajaan ialah pembangunan modal insan. Pembangunan modal insan yang seimbang akan menjamin pembangunan sesebuah negara. Dalam hal ini pendidikan memainkan peranan yang amat penting bagi merealisasikan hasrat negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Penekanan yang diberikan untuk menjana pembangunan modal insan yang seimbang ialah dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek sepertimana yang terkandung dalam FPK.

Pada pendapat kumpulan kami, ideologi yang mempengaruhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah Falsafah Pendidikan Islam dan Falsafah Pendidikan Barat. Kedua – dua falsafah ini mendasari kewujudan dalam pembinan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

2.0 DEFINISI 

Menurut Kamus Dewan, maksud falsafah ialah pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu tertinggi atau sebagai dasar kepada ilmu-ilmu lain. Falsafah juga didefinisikan sebagai kebijaksanaan atau hikmah menggunakan akal fikiran untuk mengetahui kebenaran yang hakiki. Dalam Islam, falsafah ditafsirkan kepada hikmah, walaupun konteks hikmah adalah lebih luas daripada falsafah itu sendiri. Kedudukan hikmah dalam Al-Quran mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada falsafah (Abdul Fatah, 2003). Sayidina Ali Bin Abi Talib r.a pernah berkata “ Hikmah itu ialah sesuatu yang hilang dan dicari-cari oleh orang yang beriman”. 

Dari aspek sejarah pula, perkataan falsafah berasal daripada perkataan Greek (Yunani) Philosophia yang bermaksud cinta kepada kebijaksanaan, kearifan atau kehikmahan. Pengertian falsafah dikembangkan lagi oleh tokoh-tokoh falsafah barat dan Islam seperti Socrates, Plato, Aristotle, Al Kindi, Al Farabi dan sebagainya. Falsafah mempunyai cabang-cabang ilmu yang utama, iaitu metafizik, epistemologi, aksiologi yang mempunyai etika dan estetika serta logik. Cabang falsafah metafizik pada umumnya bermaksud pemikiran tentang kewujudan  sesuatu. Epistemologi ialah cabang falsafah yang memberi fokus kepada ilmu. Cabang falsafah yang seterusnya ialah aksiologi yang mana lebih tertumpu pada persoalan nilai dan sistem nilai. Aksiologi terdiri daripada dua aspek, iaitu etika dan estetika. Etika ditakrifkan sebagai persoalan tentang nilai moral dan peraturan tingkah laku manusia yang betul. Estetika member pengertian tentang pemahaman dan pengamatan intelektual. Manakala logik merupakan cabang falsafah yang berkaitan dengan pemikiran atau hujah yang betul atau sebaliknya.

Dasar yang digubal dalam suatu sistem pendidikan perlu merujuk kepada asasnya iaitu falsafah pendidikan. Falsafah menjadi teras kepada sistem pendidikan kerana terkandung pendidikan yang digunakan, ciri yang hendak dicapai, kaedah pelaksanaan pendidikan yang akan digunakan, ciri yang hendak dibentuk dalam diri individu yang menerima pendidikan dan liputan yang terangkum dalam sistem pendidikan. Menurut Abdul Fatah Hasan, falsafah pendidikan merupakan suatu sistem kepercayaan, pegangan atau prinsip am yang membincangkan pelbagai hal tentang pendidikan dan pengajaran yang patut dilaksanakan di sekolah atau di dalam bilik darjah.

Falsafah pendidikan adalah pecahan daripada falsafah umum pendidikan. Falsafah umum pula terdiri daripada beberapa falsafah seperti idealisme, realisme, pragmatisme dan eksistensialisme. Secara umumnya falsafah idealisme memberi fokus kepada kepentingan pemikiran, jiwa dan kerohanian. Realisme pula ialah falsafah yang memandang alam kebendaan adalah sebagai realiti hidup. Pragmatisme dibentuk oleh ahli falsafah Amerika Syarikat yang mempercayai bahawa manusia memperoleh pengetahuan hanya melalui pengalaman dan penyelesaian masalah. Falsafah eksistensialisme menjurus kepada falsafah yang bersifat individualistik kerana menekankan aspek manusia bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan kehidupannya. Dari sini lahir idealisme yang menghasilkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sebagaimana di bawah.
Kesimpulannya, falsafah dapat diertikan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas yang dihasilkan menerusi kajian secara saintifik, sistematik, dan diterima umum.

Asal usul leksikal pendidikan´ adalah daripada morfem bebas Latin, educare yang bermaksud memelihara atau mengasuh´. Definisi pemajmukan leksikal Falsafah Pendidikan´ diertikan oleh Yusuf al-Qardawi (1980) sebagai Pendidikan merangkumi keseluruhan hidup termasuklah akal, hati, dan rohani, jasmani, akhlak, dan tingkah laku. Ia bertujuan untuk menyediakan manusia hidup dalam masyarakat yang sering menghadapi kebaikan dan kejahatan, kemanisan dan kepahitan´. Jelaslah bahawa falsafah pendidikan bertindak sebagai medium pembentukan insan yang mulia memandangkan falsafah melibatkan dua cakuman utama, iaitu teologi dan sains (Russel, 1946). 

“Kebangsaan” secara umumnya diertikan sebagai sesuatu yang universal, dan ditimbalbalikkan dengan negara secara keseluruhannya. Falsafah Pendidikan Kebangsaan merujuk keempat-empat cabang falsafah, yakni metafizik atau ontologi (teori kejadian), aksiologi (teori nilai), epistomologi (teori ilmu) dan logik. Kajian definisi dan kelompok rujukan cabang berkenaan menghasilkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang menjadi rujukan para guru dalam merealisasikan Misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada negara Malaysia yang rancak membangun. Falsafah ini turut memberi pedoman dan inspirasi kepada segala usaha pendidikan sama ada di dalam atau di luar institusi pendidik.

3.0 FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN ( FPK )

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) telah dirumuskan pada tahun 1988 dan dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996 yang berbunyi:
“Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arahmemperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”. 
( Akta Pendidikan 1996, Akta 550) 

Falsafah Pendidikan Kebangsaan lahir melalui suatu proses yang agak panjang iaitu satu proses pembinaan negara dan bangsa semenjak merdeka lagi. Idea penggubalan FPK telah dicetus selepas penerbitan laporan Jawatankuasa Kabinet pada tahun 1979. FPK yang dahulunya dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah digubal berlandaskan tiga ideologi iaitu, Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru (RMK 3, 1976-1980) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan (1999). FPK digubal oleh pakar-pakar pendidikan secara teliti dengan mengambil berat keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara. ( KPM, 2001). 

Pernyataan FPK menegaskan sistem pendidikan di Malaysia memberi penekanan terhadap perkembangan potensi individu secara bersepadu dan menyeluruh kearah melahirkan insan yang baik berdasarkan kepercayaan, keyakinan dan kepatuhan kepada tuhan. Ini bermakna, FPK berhasrat melahirkan insan yang berpegang teguh pada agama. FPK perlu dijadikan teras kepada pendidikan di negara ini bermula daripada pendidikan pra sekolah sehinggalah ke peringkat pengajian tinggi.

4.0 MATLAMAT PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Secara umumnya, matlamat pendidikan di Malaysia adalah untuk melahirkan insan yang baik dan sempurna supaya menjadi warganegara Malaysia yang baik dan berguna. Menurut perspektif Islam, tujuan dan matlamat pendidikan adalah untuk membentuk akidah, sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara bagi mencapai keredaan Allah (Hasan Langgulung, 1986). Manakala menurut Harun Din dan Rakan-Rakan (1985), tujuan pendidikan adalah untuk membina individu yang bertindak sebagai khalifah di muka bumi ini. Daripada matlamat dan tujuan pendidikan melalui perspektif Islam ini, dapatlah dirumuskan bahawa tujuan dan matlamat utama pendidikan seperti berikut:
1. Untuk pembinaan dan pendidikan akal (tauhid).
2. Untuk pembinaan keperibadian (sikap).
3. Untuk menyiapkan diri bagi kehidupan dunia dan akhirat (kemahiran).
4. Supaya manusia mampu menerokai dan menguasai ilmu sebagai asas pembangunan diri secara berterusan.

Menurut W.F Connell pada 16 Ogos 2010, matlamat pendidikan boleh dipandang daripada tiga aspek utama iaitu aspek individu, masyarakat dan kebudayaan. Pendidikan mestilah bertujuan untuk menyediakan pengalaman bagi setiap individu untuk membantunya mencapai kawalan ke atas diri dan alam sekitarnya. Secara keseluruhannya, matlamat pendidikan di Malaysia adalah untuk melahirkan insan yang mempunyai ciri-ciri sebagai pemimpin dan yang kenal diri (self – Actualization). Dalam erti kata lain, pemimpin bermaksud Khalifah di muka bumi ini. Setiap individu perlu menjadi pemimpin kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan alam. 
Menurut Eisner & Vallance (1974), dalam buku “Curriculum: An Integrative Introduction” tujuan pendidikan adalah untuk membangunkan potensi individu sepenuhnya. Pendidikan juga adalah satu proses untuk membantu individu menemukan makna disebalik kewujudan diri dan seluruh kejadian Tuhan di alam fizikal ini.

5.0 KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Falsafah pendidikan negara merangkumi elemen epistemologi, metafizik dan aksiologi yang juga secara langsung meliputi falsafah dealisme, realisme, perenilaisme, progresivisme dan eksistensialisme ( Sufean Hussin, 1996). Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah digubal daripada pemikiran yang rasional dan kritis, berlandaskan daripada ideologi negara sebagaimana yang telah dimanifestasikan dalam Laporan dan Dasar Pendidikan, termasuk Rukun Negara. 
Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini mengambil inspirasi daripada proses pembangunan bangsa dan negara yang agak panjang. Apa yang digariskan dalam falsafah ini juga amat berkait rapat dengan perkembangan dunia Islam dan pembangunan Negara Malaysia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan menggariskan segala istilah, pemikiran dan prinsip berkaitan dengan bidang pendidikan di negara kita. Dengan kata lain, ia menggabungkan matlamat, dasar-dasar dan amalan-amalan pendidikan sebagai satu entiti keseluruhan yang tekal, jelas dan logik. 

6.0  FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM (FPI) 

“ Pendidikan berteraskan ke arah perkembangan seimbang diri individu dari segi rohani, intelek, emosi dan fizikal yang membawa kepada individu yang beriman, berakhlak, bertakwa dan beramal soleh untuk membina masyarakat harmoni, hormat – menghormati dan bantu – membantu antara satu sama lain” (Persidangan negara-negara Islam di Makkah, 1974).

Falsafah pendidikan Islam bermaksud satu usaha yang berterusan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, membentuk kemahiran dan memupuk penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah sepanjang hayat. Falsafah pendidikan Islam juga menekankan pendidikan seumur hidup, pembangunan roh, akal dan jasad disamping menyampaikan dua fungsi iaitu sebagai hamba Allah dan juga sebagai khalifah Allah, memakmurkan alam, berasaskan kesepaduan dan kesempurnaan iman, ilmu dan amal salih bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.   

Jika diteliti dengan lebih mendalam, Falsafah Pendidikan Islam bermatlamatkan melahirkan insan yang berilmu, berkeperibadian mulia, berkemahiran dan bersikap positif untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar, dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.     

 Oleh kerana Islam diterjemahkan sebagai ad-din maka secara langsung ia mencakupi keseluruham ruang lingkup kehidupan manusia baik di dunia mahupun di akhirat sesuai dan sejajar dengan maksud falsafah pendidikan Islam itu sendiri. Kandungan dari setiap frasa dan maksud falsafah pendidikan Islam itu tiada tandingannya dengan mana-mana falsafah pendidikan yang ada di dunia ini. Secara umumnya, kandungan Dasar Pendidikan Islam ialah untuk melahirkan insan soleh yang kamil, beriman, berilmu, beramal, berakhlak.  Pendidikan Islam dari segi falsafahnya bukan sahaja sekadar untuk memperlihatkan kesempurnaan Islam sebagai satu sistem hidup yang syumul tetapi juga untuk menzahirkan amalan hidup yang sebenar sebagai seorang muslim yang ada penghayatan sepenuhnya sebagai hamba Allah di muka bumi ini.    

         Kesimpulannya, Falsafah Pendidikan Islam ialah falsafah yang bersumberkan falsafah hidup Islam kerana menggunakan prinsip Islam dalam pendidikan. Pendidikan Islam juga menegaskan bahawa menusia adalah makhluk ciptaan Tuhan dan manusia mempunyai peraturan dalam hidupnya.  Oleh itu, pendidikan ini merupakan satu falsafah yang bercorak keagamaan yang menanamkan keimanan manusia kepada Allah dalam usaha membentuk manusia sebagai khalifah di muka bumi ini yang bersikap tunduk dan patuh pada Rabbnya.

6.0  KONSEP DAN FALSAFAH PENDIDIKAN BARAT
Falsafah Barat terbahagi kepada dua cabang utama, iaitu Falsafah Aliran Tradisional dan Falsafah Aliran Moden seperti rajah di bawah;


6.1  Essentialisme
(William C. Bagley, 1874-1946)
Essentialisme berpunca daripada realisme dan idealisme. Ia adalah teori yang mencadangkan penyampaian budaya dan pengetahuan teras kepada setiap generasi baru sebagai tujuan utama pendidikan.  Memandangkan essentialisme bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan intelek individu serta mendidik individu yang berketerampilan, dengan tumpuan diberi kepada pengajaran mata pelajaran tradisional yang asas seperti Membaca, Menulis dan Mengira (3M) di samping mata pelajaran Kesusasteraan, Bahasa Asing, Sejarah, Sains,Seni dan Muzik. 
Ia juga berfokus pada pengajaran kemahiran asas, penguasaan konsep dan prinsip kandungan mata pelajaran. Guru dianggap sebagai berwibawa dalam bidang mata pelajaran dan pengajaran. Guru mempunyai kawalan bilik darjah dan membuat keputusan mengenai kurikulum tanpa banyak input daripada pelajar.. Guru juga bertanggungjawab untuk mengajar nilai-nilai tradisional. Justeru guru dianggapsebagai contoh teladan.  William Bagley (1874-1946) merupakan seorang ahli essentialis yang terkenal.

6.2 Perennialisme 
(Jonson et al., 1969)
Perennialisme berpunca daripada realisme. Ahli perennialis mempercayai bahawa tujuan utama pendidikan adalah untuk mengajar nilai dan ilmu yang sejagat dan abadi. Fokus perennialisme adalah pada perkembangan peribadi.Oleh sebab manusia ialah manusia, maka mereka hendaklah diajarkan hal-hal berkaitan dengan manusia dahulu, bukannya hal berkenaan dengan mesin atau teknik. Justeru tajuk-tajuk liberal seharusnya diajar terlebih dahulu,dan bukannya tajuk-tajuk vokasional. Kurikulum perennialis adalah berpusatkan kandungan dengan penekanan pada bahasa, kesusasteraan, matematik, seni dan sains.

6.3 Progressivisme 
(John Dewey, 1915)
Progressivisme berkembang daripada pragmatisme yang kemudian dikembangkan oleh John Dewey. Ahli progressivis mempercayai bahawa kebenaran adalah relatif dan tentatif. Ilmu membawa seseorang ke arah pertumbuhan dan perkembangan. Memandangkan pengetahuan boleh menerangkan realiti masa kini, maka kanak-kanak hendaklah diajarkan cara berfikir berbanding dengan hal yang perlu difikirkan. Oleh sebab, progressivisme mempercayai bahawa kanak-kanak akan memilih yang paling baik bagi diri mereka maka kurikulum hendaklah berdasarkan minat, kandungan antara disiplin, dan aplikasi masalah manusia. 
Ahli progressivis menggalakkan pelbagai kaedah alternatif seperti aktiviti, pengalaman, penyelesaian masalah dan projek. Ahli progressivis menganggap peranan guru sebagai pembimbing untuk penyelesaian masalah dan inkuiri saintifik.  Kebanyakan ahli progressivis bersetuju dengan pendekatan induktif yang menggalakkan pelajar untuk memberi penjelasan sendiri dan pemahaman fenomena. • Dengan cara ini, pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan baru yang dibentuk ke dalam bidang kajian yang lain.

6.4 Eksistentialisme
Eksistentialisme memberi fokus pada fitrah kewujudan manusia. Ahli eksistentialis berpandangan bahawa manusia dilahirkan tanpa sebarang tujuan. Mereka melihat realiti sebagai subjektif dan didefinisikan oleh individu sendiri. Oleh yang demikian, seseorang bertanggungjawab kepada diri sendiri dan dengan demikian bebas untuk menentukan matlamat serta membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada sebarang autoriti luar. 

Menurut ahli eksistentialis, guru atau sistem sekolah tidak berhak untuk menekankan matlamat pendidikan ke atas murid-murid.  Memandangkan setiap individu bertanggungjawab atas pendidikan masing - masing, maka kurikulum eksistentialis tidak mempunyai mata pelajaran yang khusus. Namun, mata pelajaran yang bersifat emosional, estetik dan berfalsafah seperti kesusasteraan, drama, perfileman dan seni adalah sesuai. Mata pelajaran ini menggambarkan keadaan manusia dan keadaan membuat pilihan.  Kurikulumnya juga menekankan aktiviti luahan perasaan, eksperimen,kaedah, dan media yang menerangkan emosi, perasaan dan pengertian 

6.5 Rekonstruktionisme
Rekonstruktionisme adalah hasil progressivisme. Rekonstruktionisme memberi syor untuk membaiki dan membina semula masyarakat. Ia melihat pengasasan corak budaya baru serta penghapusan penyakit sosial sebagai tujuan utama pendidikan. Ahli Rekonstruktionisme melihat sekolah sebagai pemangkin penting untuk meningkatkan keadaan manusia melalui pembaharuan pendidikan dan sosial. Rekonstruktionisme berusaha untuk menggunakan sekolah untuk mencipta sebuah masyarakat baru. Justeru fungsi utama sekolah, termasuklah seperti yang berikut:

i) Untuk mengenal pasti masalah sosial yang memberi sumbangan kepada krisis budaya, dan
 ii) Untuk mewujudkan kemahiran dan sikap yang akan menyelesaikan masalah -masalah ini. 

6.6 Idealisme
Salah satu falsafah tertua di dunia (Plato, Rene'Descartes, Baruch Spinoza, G. Berkeley, Immenual Kant, G.F.Hagel dan S.T. Coleridge). Bertentangan pendapat antara mereka Bersetuju bahawa jiwa atau kerohanian manusia penting dalam kehidupan  Alam jagat pada hakikatnya bukan kebendaan.Ia merupakan satu sistem yang memberi penekanan kepada kepentingan fikiran, jiwa dan kerohanian.

7.0 KESIMPULANNYA

Kumpulan kami berpendapat Falsafah pendidikan Islam sebagai satu panduan asas kepada pendidikan di Malaysia.  Ini dapat dilihat sebahagian besar falsafah pendidikan kebangsaan menggunakan isi utama dalam falsafah pendidikan Islam. Falsafah Pendidikan Kebangsaan melahirkan insan yang seimbang dan harmonis di samping mempunyai kepercayaan kepada Tuhan. Pendidikan bukan sekadar duniawi tetapi turut berlandaskan kepercayaan kepada Tuhan. Pendidikan turut menyelitkan unsur kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Manusia harus menyedari bahawa mereka diwujudkan untuk memajukan alam dan dan mengikuti ajaran agama. Oleh sebab itu, mata pelajaran pendidikan Islam diwujudkan bagi mendedahkan kepda pelajar Islam tentang kewujudan Tuhan.
Tidak semua yang dinyatakan oleh fahaman falsafah Barat pula akan diikuti sepenuhnya dan menjadi amalan pendidikan kita di Malaysia. Biasanya hanya elemen-elemen relevan sahaja yang akan dilihat dan dicuba kesesuainnnya kepada amalan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah di Malaysia. FPK lebih mirip kepada falsafah Progresivisme dan Rekonstruksionisme.



RUJUKAN

Amir Hasan Dawi. 2006. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan. Tanjung Malim: Quantum Books.
 Atan Long. 1976. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
 Bakar Nordin dan Ikhsan Othman. 2008. Falsafah Pendidikan dan Kurikulum. Tanjung Malim: Quantum Books.
Edaris Abbu Bakri.2004. Pengurusan Strategik:Konsep dan Aplikasi untuk Pendidikan. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Frazer, E. Home. 1989. Environment and The School. London: London University Press.
 Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz. 2004. Pedagogi Asas Pendidikan. Kuala Lumpur: Kayazano Enterpris.
http://ms.wikipedia.org/wiki/Falsafah_Pendidikan_Kebangsaan
 http://upu.mohe.gov.my/portal/arkib/fpk.php
  http://ariedrifke.blogspot.com/2010/04/implikasi-falsafah-pendidikan.html

0 comments:

Label

2023 - BPSM 5S 6 ASPIRASI MURID PPPM Aspirasi Murid dan Inisiatif PPPM BAHAN JPN SELANGOR BAHAN PENATARAN SKPM - G2 2016 BINA WEB BUDAYA SEKOLAH Buku Program CADANGAN PROGRAM MINGGU PERTAMA PEMBUKAAN SEKOLAH SESI AKADEMIK 2023/2024 Catatan Peribadi Admin CIRI-CIRI P&P BERKESAN CONTOH EVIDENS SKPMg2 Creativity & Innovation in Education FIZIKAL SEKOLAH GAMBAR PKPGB GAMBAR PKPGB KONVO 2015 UM Garis Panduan Garis Panduan Undangan atau Lawatan Orang Kenamaan dan Ahli Politik ke Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia 2023 GMGBM 2018 GURU BESAR I-THINK ICT INOVASI DAN KREATIVITI JADUAL WAKTU PKPGB KAJIAN TINDAKAN EDISI KETIGA KALENDAR 2016 Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) KERTAS KERJA KEJOHANAN MERENTAS DESA 2017 KERTAS KERJA KEJOHANAN LARI MERENTAS DESA Kinicki Krietner KOLEKSI TEKS UCAPAN GURU BESAR KOMUNIKASI Konsep dan Pelaksanaan Sekolah Selamat KONVENSYEN MGB SELANGOR 2015 KURIKULUM & MODEL NATURALISTIK WALKER KURIKULUM BERASASKAN KOMUNITI (KBK) MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2017 KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA Melindungi Masa Instruksional (MMI) MOTIVASI DALAM PENGURUSAN PENDIDIKAN Myportfolio Guru Besar 2018 Naratif Baharu Amalan Pendidikan Fokus dan Gerak Kerja Profesional KPM 2019 NILAI - NILAI MURNI Nostalgia Hidupku NOTA PADAT TEKNOLOGI PENDIDIKAN ORGANISASI SEKOLAH PAEP2104 APRESIASI SENI VISUAL SEKOLAH RENDAH PAEP4104 : PENGAJARAN MIKRO PENDIDIKAN SENI PAET3101 : ETIKA PERGURUAN Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah 2018 PBPPP PBS PDEP 3101 :KREATIVITI DAN INOVASI DALAM PENDIDIKAN PDEP 3102: Pengurusan Kurikulum PDEP1104 : Pengurusan Dan Organisasi Pendidikan (Management And Educational Organisation) PDEP2106 : REKABENTUK KURIKULUM SEKOLAH RENDAH PDEP3102 PENGURUSAN KURIKULUM PDEP3103 : TINGKAHLAKU ORGANISASI PENDIDIKAN PDEP3104 : PENGURUSAN HAL EHWAL MURID PDEP4103 PENYELIAAN PENGAJARAN & PEMBELAJARAN PEKELILING PELAKSANAAN JADUAL WAKTU PENGAJARAN & PEMBELAJARAN MENGIKUT JAM SETAHUN DI BAWAH KSSR (SEMAKAN 2017) DAN KSSM PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA PEMIMPIN TMK 2018 PENGALAMAN PEMBELAJARAN PENGGUBALAN STRATEGIK SEKOLAH PENGURUSAN DI SWASTA PENGURUSAN KEPIMPINAN SEKOLAH PENGURUSAN KOKURIKULUM PENGURUSAN PEJABAT PENGURUSAN RISIKO PENGURUSAN SEKOLAH PENGURUSAN STRATEGIK PENGURUSAN STRATEGIK SEKOLAH RENDAH PENGURUSAN SUMBER MANUSIA DALAM ORGANISASI PENDIDIKAN PERANCANGAN STRATEGIK PERLEMBAGAAN PIBG PIPPK PPET 3104: PRINSIP TEKNOLOGI PENGAJARAN PPPM PSIKOLOGI PERKEMBANGAN PST6 RPH PENDIDIKAN KESENIAN TAHUN 1 (KSSR 2017) RPT / RPH 2017 RPT MORAL TAHUN 6 (KSSR 2017) RPT PENDIDIKAN KESENIAN TAHUN 1 (KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 1 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 10 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 11 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 12 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 13 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 2 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 3 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 4 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 5 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 6 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 7 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 8 ( KSSR 2017) RPT Pendidikan Islam Tahun Satu MINGGU 9 ( KSSR 2017) SEKOLAH BERKESAN SEKOLAH SEBAGAI BIROKRASI SKPMg2 SOSIOLOGI PENDIDIKAN SWOT SWOT HAL EHWAL MURID TAKLIMAT PELAKSANAAN PENTAKSIRAN SEKOLAH DI BAWAH PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH TAKLIMAT UMUM KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN (SEMAKAN 2017) KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (SEMAKAN 2017) KURIKULUM STANDARD SEKOLAH MENENGAH TAKSONOMI BLOOM TANGGUNGJAWAB GURU BESAR TATATERTIB TEKS UCAPAN MAJLIS PENUTUPAN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA 2017 TQM TUGAS GURU BESAR UPSR 2016 VIDEO VIDEO KONVOKESYEN DIRIKU VIDEO PKPGB