Pendahuluan
Pembentukan nilai murni amat dituntut dalam melahirkan generasi masyarakat yang cintakan kehidupan yang aman dan harmoni. Menjadi tanggungjawab ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat umumnya dalam memupuk nilai-nilai terpuji di kalangan kanak-kanak yang bakal mewarisi dan mewarnai nilai kehidupan di sesebuah negara.
Nilai-nilai murni penting dalam kehidupan untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Andainya kanak-kanak tidak diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak di bangku sekolah maka mereka akan menjadi generasi yang kelak akan merugikan negara. Hal demikian kerana nilai-nilai murni akan menjadi budaya kehidupan yang harmoni di Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang etnik dan kaum.
Selain itu, perlu adanya nilai-nilai murni dalam kehidupan adalah untuk membentuk masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama. Kepatuhan kepada agama dapat membentuk insan mulia yang sentiasa patuh kepada Tuhan. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam ajaran agama masing-masing ke dalam jiwa anak-anak. Tambahan pula, nilai-nilai murni yang berasaskan agama penting untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu dan saling menghormati sebagai manusia.
Definisi
Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Secara keseluruhannya, ia merupakan nilai yang positif yang boleh diterima oleh pelajar dan masyarakat. Dalam bidang pendidikan, guru-guru dituntut melahirkan insan yang seimbang dan harmoni, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani dan jasmani melalui proses PdP malah dalam sebarang bentuk komunikasi yang wujud dan berlaku.
Nilai Murni Dari Perspektif Pendidikan
Nilai murni atau nilai baik yang diterapkan secara merentas kurikulum di sekolah, akan dapat mengelakkan diri pelajar daripada terjebak dalam pelbagai pengaruh negatif luar yang tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat dalam kemenjadian insan. Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah adalah contoh khusus bertujuan memupuk nilai-nilai murni remaja sejak di bangku sekolah. Hal ini demikian kerana negara memerlukan generasi yang berpengetahuan, berwibawa dan berwawasan, berdisiplin, berhemah tinggi, dedikasi, berfikiran luas serta positif.
Dalam setiap mata pelajaran, pembelajaran dan pengajaran (PdP), para guru disarankan agar sentiasa menekankan nilai murni yang dapat diperolehi dalam isi kandungan PdP yang disampaikan. Ini jelas membuktikan akan kepentingan nilai murni itu perlu sentiasa diulang dan ditimbulkan agar dapat dijadikan panduan dan pegangan dengan harapan akan menjadi amalan dalam kehidupan harian pelajar.
Suasana sekolah yang kondusif boleh membantu para pelajar untuk membina nilai murni dalam diri mereka. Keadaan kondusif dan lengkap dengan kemudahan pembelajaran membantu memudahkan pembelajaran pelajar dan memupuk sifat positif. Kewujudan nilai-nilai murni ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga bidang kokurikulum. Teladan guru-guru yang menunjukkan sikap positif boleh menjadi rol model kepada para pelajar. Nilai-nilai positif dapat dipelajari secara formal atau tidak formal.
Keseimbangan dan keharmonian yang terdapat dalam FPK akan dapat dicapai jika nilai-nilai murni ini dapat direalisasikan melalui kurikulum supaya ilmu pengetahuan akan dapat diperkembangkan. Usaha dan kesedaran daripada insan itu sendiri amat penting dalam mentafsir, membentuk dan melaksanakan hasrat falsafah pendidikan demi untuk melahirkan insan yang berilmu, beriman, berakal, berketerampilan dan berakhlak mulia.
Ibubapa, guru-guru dan masyarakat masing-masing berperanan dalam memberi teladan kepada anak-anak agar mereka dapat menyesuai dan menampilkan diri mereka berdasarkan kepada nilai murni yang ditonjolkan kerana mereka ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan warna-warna nilai yang baik. Bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Pembelajaran dan pembentukan nilai sebenarnya bermula dari rumah. Di sini jelas peranan ibubapa adalah penentu nilai kehidupan yang akan dialami oleh anak-anak, manakala di sekolah sekadar penegas dan pembimbing secara formal.
Di sekolah guru memainkan peranan sebagai ibubapa dalam membentuk kanak-kanak selaras dengan penerapan yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Nilai-nilai murni mula diterapkan dari pendidikan pra sekolah lagi, merupakan asas kepada proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak dalam membentuk peribadi murni.
Guru bukan hanya menjalankan tugas mengajar matapelajaran yang terdapat dalam silibus tertentu sahaja, sebab nilai murni perlu terdapat dalam setiap matapelajaran. Adakalanya nilai murni yang disalurkan itu tidak terdapat secara khusus di dalam subjek tersebut tetapi diterapkan secara tidak formal seperti komunikasi yang baik antara guru dan murid, yang akan mempengaruhi penyemaian nilai dalam jiwa pelajar.
Aspek Nilai Murni
Nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara kita telah diteliti dan diperhalusi. Pandangan dan maklumbalas yang diperolehi , telah menerima 16 nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk membentuk pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak.Dalam konteks sekolah penerapan nilai-nilai murni disepadukan melalui sebarang bentuk komunikasi (pertuturan, perlakuan, teladan, isyarat, interpretasi, kefahaman dan kontekstual). Ianya menepati Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang berbunyi "Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"
Tujuan pendidikan nilai murni ialah untuk membentuk murid-murid supaya berperibadi mulia dan mampu dalam membuat keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga, komuniti dan masyarakat. Antara nilai yang digarapkan adalah;
1. Baik Hati: Sikap sentiasa mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara ikhlas. Sikap baik hati boleh dilihat dengan menilai tindak tanduk seseorang terhadap orang lain lain. Ini merangkumi rasa belas kasihan, bertimbang rasa, saling memahami, sedia memaafkan, dan murah hati.
2. Berdikari: Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain. Berdikari dalam konteks ini membawa pengertian bertanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, yakin pada diri sendiri dan bersikap jaya diri.
3. Hemah Tinggi: Berbudi pekerti dengan tingkah laku mulia dan lemah lembut yang patut diamalkan oleh seseorang individu dalam hubungannya dengan ahli masyarakat yang lain. Ciri-ciri berhemah tinggi adalah dapat ditonjolkan melalui kesopanan, mengakui kesalahan, dan ramah mesra.
4. Hormat-menghormati: Menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberi layanan yang sopan. Ini merangkumi amalan hormat dan taat kepada ibubapa, menghormati orang yang lebih tua,guru,rakan,jiran dan pemimpin. Hormat kepada raja dan negara, mematuhi undang-undang, hormat kepercayaan adat resam dan hak asasi orang lain, serta menghargai maruah diri juga menjelmakan nilai hormat-menghormati.
5. Kasih sayang: Perasaan cinta, kasih sayang yang mendalam dan berkekalan dilahirkan dari hati yang rela terhadap sesuatu seperti menyayangi nyawa sendiri,orang lain dan makhluk lainnya, menyayangi alam sekitar, cintakan negara dan keamanan serta keharmonian hidup.
6. Keadilan: Perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.
7. Kebebasan: Dapat melakukan sesuatu tanpa batasan asalkan kebebasan itu tertakluk pada peraturan dan undang-undang agama, masyarakat dan negara; terjelma melalui kebebasan di sisi undang-undang dan kebebasan dalam sistem demokrasi.
8. Keberanian: Kesanggupan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati. Keberanian itu perlu ada pada setiap individu tetapi ia harus tahu batas dan keupayaannya kerana keberanian yang membuta tuli mengakibatkan kemusnahan serta kerugian. Nilai ini meliputi mempertahankan pendirian, kebenaran serta berani bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara yang dilakukan.
9. Kebersihan fizikal dan mental: Kebersihan diri dan kebersihan persekitaran; terjelma melalui pertuturan, kelakuan, pemikiran dan amalan kerohanian yang positif.
10. Kejujuran: Sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.
11. Kerajinan: Usaha berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan daya usaha dalam melakukan sesuatu perkara.
12. Kerjasama: Usaha baik dan membina yang dilakukan secara bersama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat seperti persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong- royang, toleransi dan perpaduan.
13. Kesederhanaan: Sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat. Menimbangkan kepentingan diri dan orang lain hendaklah secara sederhana serta mengamalkan sikap ‘memberi dan menerima’.
14. Kesyukuran: Perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas di atas nikmat dan kesenangan yang diperolehi seperti berterima kasih,, mengenang budi dan menghargai seseorang atau sesuatu.Mensyukuri nikmat Tuhan amatlah dituntut.
15. Rasional: Mampu berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat melakukan tindakan yang sewajarnya, tanpa dipengaruhi oleh perasaan. Ia merangkumi boleh membuat pertimbangan, boleh menilai akan baik dan buruk serta berfikiran logik dan terbuka.
16. Semangat Bermasyarakat: Kesediaan melakukan sesuatu berdasarkan semangat kekitaan seperti bermuafakat, kejiranan dan peka tentang isu sosial dan masyarakat.
Pemahaman Nilai Murni Murid
Dapatan daripada tulisan karangan bertemakan 3 nilai murni yang telah dibuat oleh 31 orang murid Tahun 6 sekolah saya adalah seperti berikut:
BIL MURID | NILAI MURNI | KETERANGAN |
12 | Hormat -menghormati | Seramai 12 orang yang memilih tajuk ini. Mereka menulis hormat- menghormati antara satu sama lain perlu sentiasa ditekankan supaya hidup sentiasa harmoni. Masing-masing perlu sentiasa menghormati guru-guru, ibu bapa dan rakan-rakan. Mereka juga menekankan semua pelawat yang hadir ke sekolah mestilah dihormati dengan memberi salam dan memberi yang diperlukan. Contohnya menunjukkan arah pejabat. Budaya hormat menghormati yang diamalkan di sekolah ini ialah sentiasa memberi salam semasa berselisih jalan atau ketika berjumpa. |
12 | Tanggungjawab | Seramai 12 orang murid telah menulis nilai murni tentang tanggungjawab mereka sebagai murid sekolah. Mereka menyatakan setiap orang mesti menunaikan tanggungjawab dan harapan guru-guru dan ibu bapa mereka dengan belajar bersungguh-sungguh hingga mencapai kejayaan yang diimpikan oleh semua pihak khasnya diri sendiri.Mereka juga menyedari akan tanggungjawab menjaga diri dan sekolah. |
7 | Kerjasama | Mereka menyatakan bahawa nilai kerjasama adalah penting dalam meringankan kerja yang dibuat. Ia penting dalam melakukan sesuatu perkara untuk kebaikan bersama. Contohnya membersihkan kelas setiap pagi untuk memastikan kelas sentiasa bersih dan teratur. Sesuatu kerja juga dapat disiapkan dengan lebih cepat |
Ulasan
Berdasarkan karangan murid-murid tersebut pemahaman mereka akan nilai murni telah difahami secara am. Berbagai program dilaksanakan di sekolah dalam usaha membentuk nilai positif di kalangan warganya. Menjadi tanggungjawab guru untuk memberi pengukuhan agar nilai-nilai ini akan menjadi budaya dalam kehidupan seharian walau di mana jua berada. Nilai tanggungjawab umpamanya memerlukan setiap individu bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat, negara, alam sekitar dan yang penting Tuhan yang mencipta semua makhluk. Manusia juga perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain agar kehidupan lebih harmoni. Kita mesti bersedia menghormati orang lain agar mereka juga akan menghomati kita. Amalan saling menghormati dapat menjamin kehidupan bertoleransi. Nilai kerjasama dapat mengeratkan hubungan dan pertalian sesama insan serta dapat menimbulkan kesedaran hidup sejagat.
Kesimpulan
Disedari atau tidak penerapan nilai murni berlaku secara berterusan dalam hidup kita sama ada dalam masyarakat, di rumah, mahupun di sekolah. Sesungguhnya guru mempunyai ruang yang sangat luas untuk menerapkan nilai murni semasa berinteraksi dengan murid di dalam bilik darjah. Pendeknya hampir kesemua aktiviti di dalam bilik darjah dapat dimanipulasi untuk menerapkan nilai murni sama ada dengan cara meminta murid menjadikan perkara baik sebagai teladan atau meminta mereka menjadikan perkara buruk sebagai sempadan. Apa yang penting guru mesti menyedari akan kewujudan nilai itu, menyerlahkannya kepada kelas dan memberikan peneguhan kepada murid untuk mengamalkan nilai itu. Nilai-nilai murni yang ada pada setiap murid itu diharapkan akan menjadi amalan dalam kehidupan seharian mereka, yang mendorong mereka menjadi warganegara yang baik dan rakyat yang produktif dan berkualiti serta berguna pada negara kelak.
0 comments:
Post a Comment