Pendahuluan
Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkahlaku moral. Pendidikan Moral di sekolah rendah memberi tumpuan kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian dan kemoralan murid melalui penghayatan dan amalan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di negara ini. Dengan itu murid dapat membina satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral. Ini membolehkan mereka menjadi individu yang bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan dan tindakan yang dilakukan.
Pengajaran nilai berfokus pada Model Insan Menyeluruh yang meliputi tiga dimensi moral yang saling berkaitan iaitu pemikiran moral, perasaan moral dan tindakan moral. Pemahaman nilai-nilai moral, menerima dan menunjukkan komitmen terhadapnya serta mengamalkannya dalam kehidupan harian membolehkan seseorang murid mencapai tahap kematangan moral.
Pengertian Istilah Nilai
Menurut Kamus Dewan, nilai bermaksud darjat, kualiti, mutu atau taraf. Dari sudut Pendidikan Moral, nilai merujuk kepada suatu konsep asas di mana masyarakat menilai atau mengukur perilaku seseorang atau kelompok orang sebagai baik, berharga atau bernilai yang boleh atau harus dicontohi, dihormati dan disanjung.
Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan untuk meninjau setakat mana pemahaman, penerimaan dan komitmen murid-murid terhadap nilai-nilai murni seperti mana terdapat dalam Pendidikan Moral yang mereka pelajari di sekolah. Kemudian perbandingan dibuat untuk melihat perbezaan pemahaman murid-murid tentang konsep nilai-nilai murni antara murid-murid Tahun 3 ( peringkat umur 10 tahun ) dengan murid-murid Tahun 6 ( peringkat umur 12 tahun ).
Soalan Kajian
Apakah yang anda faham tentang nilai tanggungjawab?
Butiran Kajian
Kajian ini dilaksanakan di SK Taman Skudai Baru 2, Johor Bahru pada 23 April 2014.
Seramai 20 orang murid dari Tahun 3 Arif dan 20 orang murid lagi dari Tahun 6 Arif dipilih menjadi responden. Semua murid diberi masa selama 30 minit untuk menjawab soalan dalam bentuk karangan atau ayat-ayat. Contoh penulisan murid seperti dalam lampiran.
Dapatan Kajian
Setelah dibaca penulisan murid-murid, berikut disenaraikan pemahaman murid-murid tentang nilai tanggungjawab.
Jadual 1 :
Bil Tanggungjawab Seperti Yang Terdapat Dalam Karangan Murid Bilangan Murid
Tahun 3 Tahun 6
1 Belajar Bersungguh-Sungguh 8 16
2 Elak Vandalisme 9
3 Kekemasan Dan Kebersihan Diri 12 17
4 Membantu Ibu Bapa / Keluarga 9 13
5 Membantu Orang Dalam Kesusahan 12
6 Menghormati Ahli Keluarga 11
7 MenghormatiAnggota Masyarakat 9
8 Menghormati / Membantu Guru 4 15
9 Menjaga Kebersihan Dan Keceriaan Alam Sekitar 10
10 Menjaga Kebersihan Kelas / Rumah 1 14
11 Menjaga Keselamatan Diri 4 11
12 Menjaga Nama Baik Keluarga 12
13 Menjaga Nama Baik Sekolah 7 10
14 Menjaga disiplin 13
Analisa kajian
Analisis jawapan penulisan murid-murid menunjukkan bahawa murid-murid Tahun 3 mentafsirkan tanggungjawab utama mereka sebagai menjaga kekemasan dan kebersihan diri (12 kenyataan), belajar bersungguh-sungguh (8 kenyataan), membantu ibu bapa dan keluarga (9 kenyataan) dan menjaga nama baik sekolah (7 kenyataan).Manakala terdapat 4 kenyataan yang mengatakan menghormati dan membantu guru serta menjaga keselamatan diri. Menjaga kebersihan kelas atau rumah menduduki kenyataan terendah iaitu 1 kenyataan.
Bagi murid Tahun 6, tahap pemahaman nilai tanggungjawab adalah lebih ketara. Kekemasan dan kebersihan diri (17 kenyataan), belajar bersungguh-sungguh (16 kenyataan) serta menghormati dan membantu guru (15 kenyataan) merupakan tanggungjawab utama mereka; Tanggungjawab mereka yang lain merangkumi menjaga kebersihan kelas atau rumah (14 kenyataan), menjaga disiplin dan membantu ibu bapa atau keluarga (13 kenyataan), membantu orang dalam kesusahan serta menjaga nama baik sekolah (12 kenyataan), menghormati ahli keluarga serta menjaga keselamatan diri (11 kenyataan), menjaga kebersihan dan keceriaan alam sekitar serta menjaga nama baik sekolah (10 kenyataan) dan mengelakkan vandalisme serta menghormati anggota masyarakat (9 kenyataan).
Perbandingan Pemahaman Tentang Nilai Tanggungjawab
Data-data seperti dalam Jadual 1 telah menunjukkan perbezaan yang ketara dalam pemahaman konsep tanggungjawab antara murid Tahun 3 (berumur 10 tahun) dengan murid-murid Tahun 6 (berumur 12 tahun). Bagi murid-murid Tahun 3, konsep tanggungjawab itu didapati berkisar sekitar diri murid-murid itu sendiri dan orang-orang yang dekat dengan mereka seperti ahli keluarga, guru-guru dan sekolah. Fenomena ini jelas apabila didapati kenyataan yang utama ditulis oleh murid-murid ialah seperti menjaga kekemasan dan kebersihan diri (12 orang), membantu ibu bapa atau keluarga (9 orang), belajar bersungguh-sungguh (8 orang) serta menjaga nama baik sekolah (7 orang) sebagai tanggungjawab mereka.
Bagi murid-murid Tahun 6, pemahaman konsep tanggungjawab mereka lebih meluas dan merentasi fokus pada diri dan keluarga mereka sahaja. Data menunjukkan bahawa mereka sedar akan tanggungjawab pada dirinya. Lebih daripada 80% murid Tahun 6 memberi kenyataan bahawa mereka bertanggungjawab untuk belajar bersungguh-sungguh (16 orang), menjaga kekemasan dan kebersihan diri (17 orang) dan menjaga disiplin ( 13 orang ). Begitu juga mereka perlu membantu ibu bapa (13 orang ) serta menjaga nama baik keluarga (12 orang ).
Selain itu, mereka menunjukkan bahawa mereka juga bertanggungjawab terhadap orang lain atau masyarakat dan alam sekeliling mereka. Ini jelas dapat dilihat apabila lebih 50% murid memberi kenyataan mereka perlu membantu orang dalam kesusahan ( 12 orang ), menghormati atau membantu guru ( 15 orang ) dan menjaga kebersihan dan keceriaan alam sekitar ( 10 orang ).
Kesimpulan
Kajian ini telah menunjukkan perbezaan yang sangat ketara dalam tahap pemahaman konsep tanggungjawab antara murid Tahun 3 dengan murid Tahun 6. Perbezaan ini boleh dilihat sebagai perbezaan tahap kematangan murid. Pemahaman murid-murid Tahun 3 yang masih mentah itu lebih bersifat individualistik. Ini bermakna mereka lebih berfokus kepada dirinya serta orang-orang yang dekat dengan mereka sahaja. Manakala murid-murid Tahun 6 yang lebih matang itu memperlihatkan sifat lebih prihatin di mana selain daripada diri sendiri mereka juga peka dengan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat dan alam sekitar.
0 comments:
Post a Comment