Usaha dalam mencapai ulasan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak akan dapat dilakukan tanpa membina dan memperkembangkan pendidikan di atas landasan nilai-nilai murni. Pendidikan dan nilai murni sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana ia adalah satu arena yang merangkumi semua corak dan rupa nilai yang terlibat.
Dalam kontaks sistem pendidikan di Malaysia, nilai-nilai yang dimaksudkan ialah nilai yang luhur dan murni. Kepentingan penerapan nilai murni ini adalah selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang antara lain menekankan insan yang memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek. Insan yang dibentuk seharusnya berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Menurut Wan Mohd Zahid Mohd Nordin ( 1994 ) , nilai murni merujuk kepada tanggapan mengenai perkara yang dihayati dan pada masa yang sama mempunyai kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni ini juga merujuk kepada tanggapan mengenai perkara-perkara yang baik, mulia dan tetap. Ia tidak suatu yang berubah-ubah dan nisbi. Dari sudut sosialogi pula, nilai murni dimaksudkan dengan nilai-nilai yang luhur. Berasaskan nilai-nilai utama, manusia mengembangkan nilai-nilai tambahan. Nilai-nilai tambahan ini tidak bercanggah dan selaras dengan nilai-nilai utama. Maka kesannya, nilai-nilai utama akan menjadi bertambah kukuh dan kaya.
Nilai murni tersebut bersifat sarwajagat dan telah dirumuskan keperluan penggunaannya oleh Jawatan kuasa Pendidikan Akhak yang merangkumi ciri-ciri dalam agama-agama yang ada di Malaysia. Kesemua ciri-ciri yang positif dalam agama dimasukkan sebagai wahana pembentukan nilai murni yang perlu dan boleh diserapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Titik permulaan penegasan mustahaknya pembelajaran nilai-nilai murni dalam mata pelajaran Bahasa Melayu yang terkandung dalam 17 nilai utama. Ia adalah antara strategi perlaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan di dalam KBSM iaitu melalui nilai murni Merentas Kurikulum.
Di antara nilai-nilai yang terkandung dalam ulasan yang ditulis oleh pelajar-pelajar Tahun Enam Mulia yang dapat dipetik antaranya :
i. Baik hati iaitu bertimbang rasa, berkasihan, murah hati, saling memahami dan sedia memaafkan.
ii. Kasih sayang iaitu sayangi nyawa, alam sekeliling, negara dan keamanan.
iii. Kejujuran iaitu amanah, ikhlas dan bercakap benar.
iv. Keberanian iaitu membawa pengertian tidak berani ‘ membabi buta’, berani kerana benar, berani mempertahankan pendirian dan berani bertanggungjawab.
v. Kerajinan iaitu bermaksud cekal, berusaha, tekun dan gigih.
Matlamat penerapan nilai-nilai murni melalui pendidikan ialah untuk melahirkan insan, dan warga negara yang baik serta memiliki akhlak mulia. Objektif penerapan nilai murni adalah seperti berikut:
• Menanam kesedaran, kesefahaman, keyakinan dan juga kesyukuran.
• Menanam semangat cintakan nilai-nilai suci.
• Menghormati kebaikan dan membenci keburukan.
• Membentuk sikap positif dan berguna kepada agama, bangsa dan juga sewaktu menjalankan tugas atau tanggungjawab.
• Menghapuskan sikap negatif dalam kehidupan, dan juga sewaktu menjalankan tugas atau tanggungjawab.
• Menjalankan amanah dengan dedikasi.
• Melatih diri dengan disiplin
• Meningkatkan hasil atau produktiviti.
• Berusaha untuk mencapai kecemerlangan.
Daripada objektif-objektif ini, bolehlah disimpulkan bahawa penerapan nilai-nilai murni ini adalah untuk membentuk sikap, keperibadiaan dan pandangan pelajar yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, keluarga, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah kebahagiaan dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), (1993:16) telah menerapkan beberapa strategi pengajaran yang berkaitan dengan penerapan nilai murni khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu seperti berikut:
a. Nilai murni merentas kurikulum
b. Bahasa Melayu merentas kurikulum
c. Kesepaduan ilmu, kemahiran dan nilai
d. Budaya sekolah positif
e. Kesepaduan antara kurikulum dan kokurikulum
Sukatan pelajaran mencatatkan bahawa penerapan nilai murni dalam pendidikan Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan insan yang baik serta memiliki akhlak mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan nilai murni bertujuan untuk membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berperibadi mulia. Pemahaman dan kesedaran tentang nilai murni masyarakat Malaysia perlu dipupuk sama ada secara langsung atau tidak langsung selaras dengan nilai sejagat. Tegasnya, usaha guru menerapkan nilai murni di sekolah merupakan amalan menghayati Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Jadi, sudah sewajarnya aspek ini dilaksanakan dengan segala kesungguhan,
Di bawah ini disenaraikan 17 nilai-nilai murni:
1. Baik hati Sikap mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara ikhlas yang dapat dilihat dengan menilai tindak tanduk seseorang terhadap orang lain.
2. Berdikari
Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung pada orang lain yang terjelma juga melalui rasa tanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri dan yakin pada diri sendiri
3. Hemah Tinggi
Budi pekerti dan tingkah laku yang mulia dan lemah lembut serta budi bahasa yang patut diamalkan oleh seseorag dalam hubungannya dengan anggota masyarakat yang lain. Terlihat melalui kesopanan, mengakui kesalahan diri dan ramah mesra.
4. Hormat menghormati
Menghargai dan memuliakah seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan yang sopan. Antaranya melalui ketaatan terhadap ibu bapa, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin. Terserlah juga melalui penghormatan kepada raja dan negara, patuh kepada undang-undang dan menghargai maruah diri.
5. Kasih sayang
Perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu termasuklah sayang dan cinta akan nyawa, alam sekitar, negara dan keamanan.
6. Keadilan
Perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah termasuk juga saksama.
7. Kebebasan
Dapat melakukan sesuatu tanpa batasan asalkan kebebasan itu tertakluk pada peraturan dan undang-undang agama, masyarakat dan negara yang terhasil melalui kebebasan di sisi undang-undang dan sistem demokrasi.
8. Keberanian
Kesanggupan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati. Berani tanpa membuta tuli, berani kerana benar, berani mempertahankan pendirian dan berani bertanggungjawab.
9. Kebersihan fizikal dan mental
Kebersihan diri dan kebersihan persekitaran terjelma melalui pertuturan, kelakuan, pemikiran dan amalan kerohanian.
10. Kejujuran
Sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan termasuklah amanah, bercakap benar dan ikhlas.
11. Kerajinan
Usaha secara berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan dan dedikasi dalam melakukan sesuatu perkara, terlihat melalui kecekalan, daya usaha, dedikasi, gigih dan tekun.
12. Kerjasama
Usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama-sama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat termasuk persaudaraan.
13. Kesederhanaan
Sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat. Secara umumnya, sederhana dalam mempertimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.
14. Kesyukuran
Perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas atas nikmat dan kesenangan yang diperoleh termasuk berterima kasih, mengenang budi dan menghargai seseorang. Fokus utama ialah kesyukuran kepada Tuhan.
15. Patriotisme
Semangat cinta akan negara, taat, taat setia kepada raja dan sanggup berkorban demi negara.
16. Rasional
Dapat berfikir dengan berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat melakukan tindakan yang wajar tanpa dipengaruhi oleh perasaan termasuk mampu membuat pertimbangan, berfikir logik dan bersifat terbuka.
17. Semangat bermasyarakat
Kesediaan melakukan sesuatu berdasarkan semangat kekitaan seperti bermuafakat, kejiranan dan peka tentang isu sosial dan masyarakat.
Penutup
Nilai murni ini perlulah diterjemahkan dalam lima ciri tabii manusia iaitu kualiti hidup, amalan nilai, tingkah laku, persepsi terhadap kemajuan, perubahan dan prinsip kebebasan. Menerusi model ini dapatlah melahirkan insan daripada paradigma Barat yang meletakkan manusia dalam kelompok tabii haiwan sosial ( Stevenson , 1994 ). Juga dapat dikeluarkan pengaruh sekularisme dalam membicarakan tabii insan. Nilai-nilai murni yang dikemukakan ini bersifat bersepadu, menyeluruh, terbuka, merangkumi perbincangan mengenai pembangunan, perubahan dan kemajuan dalam peradaban manusia. Penerapan nilai-nilai murni ini sekaligus dapat diaplikasikan untuk manusia sejagat tanpa batasan bangsa dan agama.
0 comments:
Post a Comment