Model Kepimpinan: Visi,
Misi dan Matlamat
Berdasarkan
kepada pencapaian UPSR 2013, sekolah saya telah mencatat keputusan yang agak
menurun selama tiga tahun berturut-turut
jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. GPS telah merosot daripada
2.05 ke 2.08 dan kepada 2.24. Oleh yang
demikian satu langkah yang drastik telah diambil bagi menangani masalah ini
agar tidak berlarutan. Satu mesyuarat pengurusan induk bersama semua guru
penolong kanan telah dibuat bagi membincangkan strategi untuk mengatasi masalah ini. Hasilnya, kami
sependapat kualiti PdP guru-guru tidak mencapai standard yang dikehendaki dan
perlu ditingkatkan. Selaras dengan visi Kementerian Pendidikan Malaysia
iaitu Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera, maka
kami sependapat bahawa penekanan terhadap kualiti pengajaran dan pengajaran
guru perlulah menjadi fokus kami dalam memastikan proses PdP berjalan dengan
sempurna dan menepati objektif yang hendak dicapai. Pendidikan yang berkualiti
adalah satu faktor yang amat penting dalam menjamin peningkatan pencapaian
akademik murid. Justeru itu, ini
membolehkan matlamat sekolah kami juga akan dapat dijadikan realiti.
Jika sebelum
ini saranan supaya pencerapan dan pemantauan PdP seorang guru perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya 4 kali
setahun, maka satu pendekatan baharu telah diambil bagi menghasilkan impak segera
dan optimum. Satu program pemantauan dan pencerapan yang dikenali sebagai “Last
10 minutes” telah diperkenalkan kepada semua guru. Guru besar dan guru-guru
penolong kanan akan masuk ke kelas dan mencerap PdP guru pada 10 minit terakhir
pada setiap hari. Ini bermakna sekurang-kurangnya 4 orang guru akan dicerap
atau dipantau. Setiap guru perlu sentiasa bersedia kerana pemilihan guru-guru
yang akan dicerap adalah secara rawak. Namun begitu semua GPK akan berbincang
terlebih dahulu bagi memastikan tiada berlaku pertindihan pencerapan. Instumen
pencerapan adalah berlandaskan kepada borang pemantauan SKPM 2010 yang
dikeluarkan oleh pihak nazir persekutuan. Objektif pencerapan pada 10 minit
terakhir ini adalah untuk melihat samada objektif pengajaran guru tercapai atau
tidak. Jika tercapai maka diandaikan proses PdP telah berjalan dengan sempurna
dan jika tidak tercapai maka guru tersebut akan dicerap semula dalam sesi yang
lain bagi mengenalpasti masalah dan membincangkan langkah penyelesaian. Selain
daripada itu, langkah mencerap guru-guru selama 10 minit ini kurang memberikan
tekanan kepada guru. Ini adalah kerana kebanyakan guru-guru tidak begitu gemar
dicerap.
Di awal
pelaksanaan program pencerapan ini banyak kekurangan guru telah dapat dikesan.
Antaranya penyediaan rancangan harian yang tidak objektif, set induksi yang
tidak menarik, lewat masuk ke kelas, tiada alat bantuan pengajaran dan
rancangan harian yang tidak lengkap, Namun dalam tempoh yang singkat semua guru
yang telah dicerap telah menunjukkan hasil yang sangat baik. Penyediaan
rancangan harian lebih tersusun dan objektif, guru-guru mula menggunakan
alat-alat bantuan mengajar, proses PdP lebih menarik dan objektif PdP lebih
banyak dicapai di akhir pelajaran. Selain itu, guru-guru lebih cepat berada di
dalam kelas untuk melaksanakan PdP. Kualiti PdP guru telah meningkat dan
perubahan sikap yang positif dalam melaksanakan tugas mereka dan membolehkan
murid-murid belajar serta mendapat pengetahuan dan kemahiran dengan lebih
berkesan. Secara tidak langsung juga, sasaran sekolah untuk mencapai 80% guru
cemerlang dalam PdP akan tercapai.
Program “
Last 10 Minutes” ini telah dibentangkan dalam satu Dialog Prestasi antara
Guru-Guru Besar dan Pegawai Pendidikan Daerah Port Dickson pada awal Januari
yang lalu. Objektif, cara pelaksanaan dan juga impaknya telah dibincangkan
dalam perjumpaan tersebut. Pegawai Pendidikan Daerah telah menyatakan sokongan
atas program ini dan diharapkan akan membantu sekolah meningkatkan pencapaian
akademik . Beliau juga berharap program tersebut menjadi ikutan sekolah-sekolah
yang lain dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran
guru-guru.
Walau
bagaimanapun, pentadbir menghadapi kekangan tugas dan masa untuk mencerap
guru-guru. Ini adalah kerana pentadbir seringkali terpaksa menghadiri
kursus-kursus dan mesyuarat samada di peringkat daerah mahupun di peringkat
negeri. Selain itu urusan pentadbiran yang kadangkala memerlukan masa
penyelesaian yang lama membuatkan proses mencerap PdP guru-guru terganggu.
Namun program ini akan terus dilaksanakan sebaik mungkin demi untuk memastikan
kualiti PdP guru sentiasa dijaga dan akhirnya dapat meningkatkan pencapaian
akademik sekolah.
0 comments:
Post a Comment