Pendekatan mendalami karya seni seperti ini dibentuk oleh Edmund B. Feldman, bermula dengan guru menyoal pelajar soalan-soalan mudah tentang apa yang mereka nampak dan kemudiannya berakhir dengan satu bentuk kritikan seni yang komprehensif. Pendekatan ini mengandungi empat komponen – deskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan. Namun demikian, ini bukanlah satu turutan logik yang mesti. Komponen-komponen tersebut boleh dijalin dan digunakan dalam pelbagai urutan. Guru boleh menggunakan pendekatan ini bagi memperkenalkan sesuatu karya dengan cara yang fleksibel sesuai dengan pengalaman dan kesediaan sumber pelajar.
Deskripsi
Komponen ini biasa menjadi titik permulaan untuk melihat dan memperkatakan sesuatu tentang sebuah karya seni,berfokus kepada melihat apa yang ada dalam karya tersebut, dan apa yang berlaku. Guru boleh menanyakan tentang huraian @deskripsi isi pengutaraan (subject matter) ( contohnya: portret, landskap, peristiwa sejarah, kehidupan kota, dll) atau unsur-unsur seni (warna, garisan, rupa). Yang lebih penting ialah memulakan perkongsian impresi tentang karya yang terlibat yang paling nyata terdapat pada imejnya. Yang dikenal bukan sahaja bahagian faktual karya malah juga merujuk kepada kualiti bahagian-bahagian tersebut (kelembutan, kekerasan, keterbukaan, dinamik), pelajar mampu membuat respon secara berkesan pada pandangan pertama tentang apa yang mereka lihat.
Analisis
Komponen ini adalah lanjutan daripada deskripsi, bergerak ke arah bahagian-bahagian yang telah pun dikenal pasti. Guru memulakan analisis dengan menggalakkan murid mengenal keseluruhan ciri yang menguasai karya, termasuk mood dan rasa ekspresif dalam karya. Analisis selanjutnya menghalusi persepsi dengan memfokus kepada cara pelukis menggunakan prinsip rekaan (contohnya: keseimbangan, ulangan, dsb) untuk menjadikan karya itu padu dan penuh. Analisis melengkapkan inventori memerhati apa yang terdapat pada karya melalui deskripsi.
Interpretasi
Sebaik sahaja pelajar memberi perhatian dan mengenal pasti apa yang terdapat pada karya, mereka akan mula membuat spekulasi tentang maksud karya. Guru boleh memotivasikan pelajar dengan menyoal mereka “Apakah cuba digambarkan atau maksudnya pada anda?” Sememangnya menentukan makna atau mesej karya itu bukan satu kerja yang mudah, dan bukan satu interpretasi sahaja yang ada. Pengkritik seni yang cekap sering berbeza pendapat dalam hal ini. Namun, melalui bimbingan dan latihan seseorang pelajar itu akan menjadi semakin mahir menyelesaikan masalah interpretasi. Ini adalah satu lagi peluang bagi setiap pelajar mendapatkan jawapan, walau jawapan tersebut perlu dicabar oleh guru supaya pelajar dapat menghalusi apa yang mereka lihat dan fikir terhadap kandungan yang sedang diperhatikan.
Pertimbangan
Bahagian kaedah memahami karya yang paling sukar adalah membentuk pengertian tentang nilai dan keutamaannya. Di sini bermulalah usaha untuk membezakan antara pilihan dan pertimbangan. Pemilihan adalah laporan subjektif yang menandakan kesukaan atau sebaliknya. Usaha begini adalah paling sesuai untuk menguji/mencirikan cita rasa seseorang, tetapi tidak mampu merangkumi impak yang lebih besar karya ke atas masyarakat. Pertimbangan adalah usaha untuk menggunakan kriteria (seperti yang dikemukakan oleh teori seni seperti formalisme atau ekspresionisme) yang menepati karya tertentu. Dalam lain-lain perkataan, pertimbangan melibatkan menawarkan sebab atau alasan bagi meletakkan merit karya berasaskan nilai dan keutamaan (Contoh: Mona Lisa, Kubisme, dsb)
0 comments:
Post a Comment