Secara umumnya kepimpinan dilihat
sebagai proses dua hala iaitu tingkah laku pemimpin yang dipengaruhi oleh
interaksi dengan kakitangan dan jangkaan kakitangannya (Mohd. Salleh,
2000). Organisasi masa kini yang mencabar dengan harapan tinggi daripada
masyarakat menagih pemimpin sekolah untuk membuat perubahan struktur pengurusan
bagi memenuhi banyak tuntutan semasa. Di sekolah, pemimpin
bertanggungjawab terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja di
kelas tetapi termasuklah segala aktiviti perancangan bermula daripada peringkat
pembentukan visi dan matlamat hinggalah penilaian dan penambahbaikan. Guru
Besar memikul tanggungjawab bagi memastikan segala aktiviti yang telah
dirancang bersama itu dapat dilaksanakan dan berada di dalam kawalannya.
Peranannya amat besar dalam memimpin dan mentadbir urus sekolah agar
pembelajaran berlaku dengan lancar dan cemerlang. Ramaiah (1992)
menyatakan bahawa pemimpin dalam konteks pendidikan boleh dilihat sebagai
seseorang yang diiktiraf oleh seseorang atau lebih, mempunyai pengaruh, wibawa
dan mempunyai kuasa sama ada jangka pendek atau panjang dalam situasi
tertentu. Dalam erti kata lain pemimpin ditentukan pemimpin ditentukan
oleh peranannya dan bukan semata-mata berdasarkan kedudukannya.
Dalam memperkatakan tentang
kepimpinan sekolah sama ada guru besar atau pengetua maka aspek kompetensi
mereka perlu diberi fokus yang utama agar kualiti pendidikan dapat
dijamin. Speck (1999) menyatakan bahawa konsep kepengetuaan kini lebih
dinamik, kompleks dan menagih sesuatu yang lebih tinggi. Antara ciri
kepengetuaan yang dicadangkan beliau adalah aspek pendidikan, kepimpinan,
pengurusan dan kejiwaan. Di Malaysia, Standard Kompetensi Kepengetuaan
Sekolah Malaysia (SKKSM) telah menggariskan dengan jelas sembilan bidang
pengurusan dan kepimpinan sekolah yang mesti dikuasai oleh mana-mana pengetua
dan guru besar di negara ini (Buku Panduan Standard Kompetensi Kepengetuaan
Sekolah Malaysia, 2006). Sembilan bidang yang dimaksudkan itu: Pengurusan
dan Kepimpinan Organisasi; Pengurusan Kurikulum; Pengurusan Kokurikulum;
Pengurusan Hal Ehwal Murid; Pengurusan Kewangan; Pengurusan Pentadbiran
Pejabat; Pengurusan Persekitaran dan Kemudahan Fizikal; Pengurusan dan
Pembangunan Sumber Manusia; dan Pengurusan Perhubungan Luar.
Bidang-bidang ini bukan sahaja perlu diketahui, dikuasai, tetapi
diimplementasikan secara meluas dalam tugasan kepimpinan mereka
seharian. Merujuk kepada tugasan-tugasan yang mencabar ini, maka
merupakan satu keperluan bagi mereka memiliki daya kepimpinan yang baik
sebagaimana Amanat Menteri Pendidikan (2001) menyatakan bahawa dalam banyak
kes, kecemerlangan sesebuah sekolah baik dari segi prestasi akademik mahupun
kejayaan dalam kokurikulum amat bergantung pada daya kepimpinan guru besar atau
pengetuanya.
Foo dan Zaidatol (2003) telah
mencadangkan enam kumpulan kompetensi yang difikirkan sesuai diamalkan oleh
pengetua dan guru besar selaku pemimpin di sekolah iaitu kepimpinan pengajaran,
perancangan dan akauntabiliti, hubungan manusia, kepimpinan politik,
keberkesanan diri, kepimpinan budaya dan etika. Jika dilihat pada
keenam-enam aspek ini maka ia adalah penting bagi melengkapkan seseorang guru
besar sebagai pemimpin organisasi pendidikan yang memenuhi kehendak budaya,
norma masyarakat dan falsafah pendidikan. Dalam mengupas aspek pertama
iaitu kepimpinan pengajaran, kepimpinan di sekolah dilihat bukan sahaja
bertujuan untuk menggerakkan segala potensi yang ada di sekolah bagi mencapai
matlamat yang ditetapkan malahan ia memerlukan satu upaya yang khusus bagi
menjadikan sekolah sebagai tempat berlakunya pengajaran yang berkesan.
Pemimpin sekolah perlu bertindak sebagai ketua dan pentadbir yang mampu
menggalakkan suasana pengajaran yang berkualiti bagi meningkatkan kadar
pemindahan ilmu di kalangan warganya terutamanya kepada pelajar. Mohd
Salleh (2000) menyatakan bahawa guru besar dan pengetua dianggap orang yang
mengetuai dalam kepimpinan pengajaran walaupun tugas mereka tidak banyak
bertumpu kepada aspek pengajaran namun ia bertanggungjawab menentukan maju
mundurnya tahap pencapaian di kalangan pelajar. Oleh itu satu bentuk
kepimpinan yang mampu memenuhi ciri tersebut perlu digunakan dan diperluaskan
terutama kepada pengetua dan guru besar selaku pemimpin barisan utama dan
guru-guru selaku pemimpin bilik darjah. Kepimpinan pengajaran yang
dimaksudkan adalah memberi rangsangan kepada guru dan komuniti untuk menyumbang
idea dalam proses pembentukan visi sekolah. Selain itu pemimpin juga
perlu memiliki pengetahuan dan kemahiran pedagogi agar dapat memimpin
pengajaran dengan lebih berkesan. Pemimpin pengajaran yang baik juga
memupuk kepimpinan bersama dan melaksanakan proses perubahan yang berkesan
melalui penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran serta menggalakkan hubungan
yang efektif antara sekolah dengan komuniti.
Hussein (1989) mendefinisikan
kepimpinan pengajaran sebagai usaha-usaha yang diambil oleh pemimpin sekolah
untuk menyediakan inovasi kurikulum dan untuk memperkembangkan proses
pengajaran dan pembelajaran dengan tujuan menjayakan matlamat sekolah.
Dalam erti kata lain, kepimpinan pengajaran didefinisikan sebagai pemimpin
sekolah yang mengambil peduli terhadap pengajaran guru dan pembelajaran murid
serta perkembangannya dan sentiasa membina suasana pembelajaran di sekolahnya.
Ini bermaksud kepimpinan pengajaran mengukuhkan kebolehan guru-guru mengajar di
samping membantu, mengerakkan perubahan termasuk guru mengatasi masalah
ketidaktentuan dan rasa tidak selamat. Ia juga merujuk kepada pengetua dan guru
besar yang memainkan peranan secara aktif dan berkesan dengan perancangan
perkara-perkara yang dipelajari oleh pelajar dalam bilik darjah, penyeliaan
terhadap kaedah dan cara guru mengajar, penyeliaan bahan pengajaran,
pelaksanaan program pembangunan staf untuk meningkatkan profesionalisme guru
serta pembinaan pelaksanaan penilaian terhadap kemajuan pelajaran. Keefe
dan Jenkins (1984) mendefinisikan kepimpinan pengajaran sebagai peranan
pengetua dalam memberi arah, sumber dan sokongan kepada guru dan pelajar untuk
memperbaiki pengajaran dan pembelajaran di sekolah. De Bevoise (1984)
dalam Mohd Salleh (2000) mendefinisikan kepimpinan pengajaran sebagai meliputi
tindakan-tindakan pengetua untuk menggalakkan pertumbuhan pembelajaran
pelajar.
Clark (1977) dalam Zaidatol Akmaliah
(2002) telah merumuskan peranan kepimpinan pendidikan bertumpu kepada beberapa
perkara iaitu:
i.
Menggubal
dan menjelaskan falsafah, matlamat dan polisi organisasi. Pentadbir
sekolah bertanggungjawab dalam memberi ruang kepada guru dan kakitangan untuk
memahami dan menghayati apa yang dicita-citakan oleh pihak pentadbiran agar ia
dapat memberi motivasi kepada mereka untuk bersama-sama bekerja dalam satu
pasukan berteraskan satu matlamat yang sama.
ii.
Pemimpin
membentuk struktur formal dan tidak formal dalam menggunakan sumber-sumber
manusia dan lain-lain dengan cekap, penyerahan autoriti dan perkongsian
tanggungjawab. Ini menunjukkan bahawa pengetua dan guru besar memberi
kepercayaan terhadap subordinat untuk membantu mereka melaksanakan tugas
disertakan sebahagian kuasa untuk membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan
lancar dan berkesan.
iii.
Merancang
untuk membuat jangkaan dan menyesuaikan perubahan-perubahan dalam matlamat dan
polisi. Pengetua dan guru besar membuat satu perancangan berdasarkan data
awal dan kemampuan untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang serta
bersedia menghadapi sebarang cabaran serta kemungkinan pada masa akan
datang.
iv.
Mengekalkan
komunikasi yang berkesan antara individu di dalam dan di luar organisasi.
Persekitaran sekolah yang mempunyai kepelbagaian budaya antara guru-guru,
pelajar dan pihak luar mementingkan komunikasi yang baik demi menjamin
keharmonian dan kejayaan objektif atau sub-matlamat yang diinginkan.
v.
Menggubal
polisi yang meluas tentang prosedur dan kandungan program. Pemimpin
instruksional bertindak memberi ruang kepada semua ahlinya memahami dan
mematuhi segala prosedur berlandaskan polisi yang dicanangkan secara
berdokumentasi dan diterima dengan baik oleh semua pihak.
vi.
Penyediaan
polisi yang meluas tentang keperluan personal, kecekapan standard kakitangan,
polisi latihan, gaji dan lain-lain. Dengan cara ini semua kakitangan
dapat merancang haluan kerjaya dengan lebih baik dan meningkatkan kompetensi
dan profesionalisme. Cara ini akan membantu organisasi menyediakan sumber
tenaga manusia yang berkualiti dan bermotivasi tinggi.
vii.
Pemimpin
mendapatkan sumber-sumber kewangan dan menjelaskan polisi penggunaan dan
perbelanjaan wang. Ini kerana kewangan merupakan suatu aspek yang penting
dalam memastikan sekolah mencapai kesempurnaan dari segi material dan
sebahagian aktiviti yang memerlukan tenaga luar organisasi yang perlu
digerakkan dengan bantuan kewangan.
viii.
Pemimpin
perlu menilai prestasi setiap yang dilaksanakan sama ada berjaya mencapai
objektif atau sebaliknya. Penilaian ini adalah asas kepada sebarang
tindakan susulan dan diperbincangkan bersama kakitangan sama ada perlunya
penambahbaikan atau perlu kepada perubahan baru. Penilaian boleh
dilaksanakan sama ada secara objektif, subjektif , kuantitatif ataupun
kualitatif.
ix.
Mewujudkan
proses kawalan mutu iaitu dengan mewujudkan suatu jawatankuasa penilai mutu
berdasarkan keperluan semasa. Selain daripada jawatankuasa khas,
mekanisme lain juga boleh digunakan seperti soal selidik dan tinjauan.
Dari segi proses pula kawalan mutu dilaksanakan pada setiap langkah aktiviti
berdasarkan beberapa petunjuk dalam key
performance indicator (KPI).
Pada aspek perancangan pula Zainal
Abidin (1999) dalam Foo dan Zaidatol (2003) mentakrif istilah perancangan dalam
pendidikan sebagai satu proses untuk menggunakan sumber-sumber yang diperoleh
dengan cara berekonomi dan cekap agar matlamat organisasi tercapai.
Kebolehan guru besar merancang merupakan suatu kelebihan dari segi ekonomi dan
memberi impak kepada kewangan organisasi tanpa pembaziran dari segi kewangan,
tenaga dan masa. Menurut Lunenburg (1995), perancangan didefinisikan di
mana organisasi ingin berada pada masa hadapan dan bagaimana untuk
mencapainya. Selaku pemimpin, guru besar harus merancang dan mempunyai
matlamat yang berdasarkan hala tuju organisasi, sub-unit, dan
ahli-ahlinya. Perancangan yang baik akan memberi panduan kepada ahli
organisasi tentang apa arah dan hala tuju organisasi, jenis tugasan yang perlu
dilaksanakan oleh mereka dan menjelaskan perkaitan aktiviti tugasan mereka
dengan matlamat yang hendak dicapai oleh organisasi secara menyeluruh.
Berdasarkan perancangan yang baik juga sesebuah organisasi dapat dibandingkan
hasil yang sepatutnya diperoleh dengan apa yang sebenarnya dicapai agar
sebarang program penambahbaikan yang perlu dapat dilaksanakan. Selain
dari merancang, akauntabiliti juga penting dipelihara secara profesional oleh
pemimpin di sekolah. Menurut Rothman (1995) dalam Foo dan Zaidatol
(2003), akauntabiliti dalam pendidikan ditakrif sebagai proses yang pihak
daerah sekolah (school districts) dan
negeri cuba memastikan sekolah ataupun sistem sekolah mencapai matlamat
mereka. Sistem akauntabiliti yang lengkap seharusnya mempunyai maklumat
prestasi, piawai pengukuran kualiti atau darjah kejayaan, kesan ganjaran atau
hukuman dan kewujudan agen menerima mengenai prestasi organisasi bagi melakukan
penilaian terhadap kadar kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi.
Peranan kepimpinan seterusnya yang
ditekankan adalah membina hubungan yang berkualiti antara setiap individu dalam
organisasi yang ditadbir. Menurut Zaidatol (2003), gelombang kedua
reformasi pendidikan telah memberi tumpuan khusus kepada aspek hubungan
manusia. Aspek hubungan manusia pula dilihat sebagai satu usaha pemimpin
dalam melibatkan semua ahli termasuk kakitangan pentadbiran, staf
bawahan, pelanggan dan masyarakat untuk menerima dan seterusnya membantu
organisasi mencapai hasrat dalam pentadbirannya. Bagi membolehkan guru
besar bekerja bersama-sama staf mereka dalam suasana yang harmonis maka
hubungan mereka dengan guru-guru dan kakitangan harus berada dalam keadaan yang
baik. Untuk meningkatkan hubungan manusia yang lebih baik maka beberapa
perkara perlu diambil kira oleh pemimpin di sekolah.
Zaidatol (2003) mencadangkan
beberapa tumpuan untuk menjadikan pengetua / guru besar yang berkesan dalam
aspek hubungan manusia iaitu yang pertama ialah berkomunikasi secara berkesan
dengan guru, pelajar, ibu bapa dan ahli komuniti. Komunikasi ini mempunyai
peranan sebagai pemindahan atau penyebaran maklumat daripada sumber kepada
penerima (Mohd Salleh, 2000). Komunikasi yang berkesan membantu
meningkatkan kualiti hubungan antara pemimpin organisasi dengan ahli di dalam
dan di sekitarnya. Clark (1977) dalam Zaidatol (2002) juga turut
merumuskan bahawa antara peranan pentadbiran adalah bertumpu kepada mengekalkan
komunikasi berkesan antara individu dalam organisasi dan juga di luar
organisasi.
Perkara kedua adalah menguruskan
konflik secara profesional dengan harapan untuk mencapai senario
menang-menang. Dalam isu-isu yang melibatkan konflik sama ada pihak
pentadbir dengan kakitangan, sesama staf atau dengan pihak luar maka guru besar
perlu menangani secara adil dan bijak agar semua pihak tidak merasa tertindas
dan kecewa.
Perkara ketiga adalah menggalakkan
semangat berpasukan dan proses membuat keputusan secara kolaboratif.
Menurut Eagly dan Johnson (1990) dalam Pierce & Newstrom (2006), dalam
kepimpinan demokratik di mana membuat keputusan secara kolaboratif bukan sahaja
suatu cadangan yang berkesan kepada subordinat tetapi juga mengekalkan hubungan
yang baik setiap kali cadangan mereka dinilai walaupun ada kalanya idea mereka
ditolak.
Perkara terakhir dalam aspek ini
adalah menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk guru , pelajar dan ibu
bapa. Ungkapan kaunseling adalah termasuk semua jenis menolong dengan
individu merangkumi segala usaha perkembangan, sokongan kepada krisis,
psikoterapi, bimbingan, dan penyelesaian masalah (Lili Mastura dan Mohd Fadhil,
2004). Dengan adanya perkhidmatan kaunseling ini, pemimpin telah
menjalankan satu lagi usaha meningkatkan kualiti hubungan manusia dalam
organisasi melalui kaedah psikologi, menyedarkan ahli tentang tindakkan yang
tidak rasional yang mampu merosakkan hubungan, membimbing dan membantu
menyelesaikan konflik antara individu secara profesional dan beretika.
Dalam konteks sekolah yang
melibatkan kepimpinan guru besar, aspek kepimpinan politik pula agak kurang
lazim dibicarakan walaupun ia merupakan sebahagian daripada komponen kompetensi
seseorang pemimpin pendidikan. Walau bagaimanapun ia sesuatu yang tidak
harus diabaikan kerana aspek ini merupakan sesuatu yang dapat membantu para
pengetua dan guru besar dalam mentadbir sekolah dengan lebih berkesan.
Tidak semua tindakkan yang dilakukan oleh seseorang sama ada ahli organisasi
atau anggota luar organisasi yang bertujuan memberi manfaat dan jujur.
Oleh itu pengetua dan guru besar sepatutnya peka terhadap sebarang tindak
tanduk pihak-pihak yang mempunyai kepentingan atau agenda tersirat yang mungkin
akan menimbulkan konflik pada organisasi di bawah pentadbiran mereka.
Menurut Cunningham dan Cordeiro
(2000) dalam Foo dan Zaidatol (2003) ada pihak tertentu yang menggunakan
tekanan, perundangan dan tindakkan politik untuk membuat keputusan. Dalam
keadaan yang sedemikian, pemimpin pendidikan akan berdepan dengan pihak
Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah,
guru, keluarga dan masyarakat yang lazimnya mempunyai agenda tersendiri.
Oleh yang demikian adalah wajar bagi pengetua dan guru besar mendapatkan
kumpulan atau individu berpengaruh untuk tujuan sokongan terhadap pencapaian
matlamat dan objektif sekolah. Menurut Foo dan Zaidatol (2003) peraturan
sekolah dengan polisi Kementerian Pendidikan Malaysia, JPN dan PPD juga perlu
diselaraskan agar tiada percanggahan manakala semua ahli dalam komuniti perlu
dilibatkan dalam proses membuat keputusan.
Aspek keberkesanan diri pula
merupakan kompetensi yang dapat dinilai melalui trait atau ciri yang ada pada
seseorang pemimpin. Menurut Zaidatol (2003) bagi memenuhi keperluan aspek
kompetensi ini, mereka seharusnya sentiasa mengenal pasti kekuatan dan
kelemahan sendiri dengan memahami teori-teori kepimpinan, melakukan refleksi
terhadap apa yang telah dilaksanakan, menetapkan matlamat-matlamat untuk
kemajuan profesional, memanfaatkan penggunaan teknologi terkini termasuk ICT
dan melakukan penilaian secara bijaksana apabila berhadapan dengan masalah dan
isu kompleks. Aspek kemahiran pengurusan turut diberi perhatian untuk
meningkatkan keberkesanan diri. Bennis (1974) menyatakan bahawa terdapat
empat kompetensi utama untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan dengan
mempraktikkan kemahiran kemanusiaan iaitu pengurusan perhatian, pengurusan
makna, pengurusan kepercayaan dan pengurusan diri.
Aspek terakhir adalah berkaitan
kepimpinan budaya dan etika yang dikatakan sebagai merentasi semua komponen
yang lain. Menurut Bennis (1974), faktor-faktor utama dalam kepimpinan
transformasional ialah visi, tujuan, kepercayaan dan aspek-aspek lain yang
dimanifestasikan oleh budaya organisasi. Kepimpinan budaya dan etika
dapat dipupuk melalui iklim yang positif seperti persekitaran sekolah yang
positif, inklusif dan menyokong, menggalakkan budaya pembelajaran dan
menyediakan peluang dan rangsangan untuk semua warga sekolah serta
ahli-ahlinya, dan menggalakkan tingkah laku beretika.
0 comments:
Post a Comment